POLIS mengenal pasti mayat lelaki yang ditemukan separuh tertanam di tebing tali air di Kampung Baru, Jalan Byram di Nibong Tebal pada Isnin lalu sebagai warga Myanmar berusia lingkungan pertengahan 20-an.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, identiti mangsa disahkan oleh adik lelakinya yang tampil membantu siasatan.
Menurutnya, mangsa dipercayai bekerja di Kuala Lumpur dan memiliki dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah.
“Menurut adiknya, mangsa datang ke Pulau Pinang untuk berjumpa seseorang dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor NST.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Isnin lalu, mayat mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan separuh tertanam di tebing tali air berkenaan sebelum penemuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Pemeriksaan awal polis dan pasukan forensik turut menemukan kesan darah berhampiran lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala punca kematian disahkan akibat trauma objek tumpul di bahagian berkenaan.
Jay January dalam pada itu berkata, polis kini giat mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Rizal Abd Rashid menerusi talian 019-828 2212 atau hadir ke balai polis berhampiran.





