DUA pekerja cedera dalam kejadian letupan sebelum berlaku kebakaran di sebuah tempat simpanan sisa minyak industri di kilang pemprosesan dan kitar semula sisa berjadual di Taman Biopolimer, Kerteh malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.28 malam.
Beliau berkata, kejadian mengakibatkan seorang pekerja tempatan, Khairul Azuan Rashid, 40, mengalami kecederaan di kepala manakala pekerja warga Bangladesh, Md Abdul Alim, 38, melecur di beberapa bahagian badan.
“Mangsa cedera selepas berlaku letupan sebelum api merebak dan mencetuskan kebakaran pada tong dram yang disimpan berhampiran relau di tempat berkenaan.
“Ketika kejadian, 15 pekerja sedang bekerja di kilang kitar semula serta memulihkan sisa minyak industri dan pelarut untuk dijadikan produk guna semula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi, lapor Bernama.
Menurutnya, operasi pemadaman membabitkan 48 anggota dari empat balai bomba iaitu Kerteh, Paka, Kijal dan Chukai dengan bantuan 13 jentera pelbagai jenis serta logistik sokongan.
Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan tempat simpanan sisa minyak berkeluasan 27 meter x 21 meter.
Shahrin Yusmar berkata, operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada pili bomba dan tangki air dengan empat aliran hos sepanjang 400 kaki.
“Anggota bomba turut menggunakan pancutan air bercampur buih pemadam api bagi mengawal dan memadam kebakaran berkenaan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.57 malam dan operasi ditamatkan pada jam 5.14 pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk mendapatkan rawatan lanjut.





