Tokoh wartawan bimbang Zahid ganti Anwar sebagai PM selepas PRU-16

KEBIMBANGAN terhadap kemungkinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) disuarakan tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau yang juga bekas penasihat komunikasi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, meskipun usaha Anwar memerangi rasuah sepanjang empat tahun pentadbirannya masih mempunyai kelemahan, langkah yang diambil kerajaan dalam menangani isu berkenaan tidak seharusnya diketepikan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri serta perkembangan kes Yayasan Akalbudi yang berakhir dengan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) selepas diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) menjadi antara perkara yang mencalarkan usaha membanteras rasuah.

Menurut Kadir, prospek usaha memerangi rasuah juga dilihat semakin tidak menentu sekiranya Anwar tewas pada PRU-16, terutama apabila Ahmad Zahid disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri seterusnya oleh kelompok kanan Melayu.

“Masa depan perang menentang ‘sakau’ kelihatan suram apabila Anwar berisiko besar kalah pada PRU-16 nanti, manakala Ahmad Zahid pula dicanang sebagai bakal Perdana Menteri ke-11 oleh golongan kanan Melayu.

“Anwar ini jauhlah daripada sempurna, tetapi prospek Ahmad Zahid sebagai penggantinya amat mengecewakan. Kita minta perlindunganlah daripada Allah dan mohon petunjuk-Nya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, penganalisis politik, Ong Kian Ming meramalkan Ahmad Zahid berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerjasama politik serta berjaya memenangi PRU-16.

Ramalan itu turut mengambil kira kemungkinan perubahan landskap politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang, khususnya jika kedua-dua gabungan berkenaan mencapai kesepakatan untuk bertanding sebagai satu blok.

Dalam perkembangan berkaitan, badan pemikir Ilham Centre meramalkan gabungan BN-PN berpotensi memperoleh sehingga 122 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU-16.

Gabungan berkenaan sebelum ini mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka, apabila memperoleh majoriti dua pertiga di kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here