SISTEM Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) yang mula beroperasi Sabtu lalu akan terus diperkukuhkan bagi memastikan ia dapat memberi prestasi dan perkhidmatan operasi yang lebih lancar untuk semua agensi kecemasan.
Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi (KK) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) pada masa yang sama menyifatkan insiden dua ambulans kerajaan dihantar ke satu lokasi sama adalah kes terpencil.
Bagaimanapun, ketiga-tiga agensi kerajaan itu memberi jaminan perkara ini akan ditangani secara serius dan dengan kadar segera kerana setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat.
“Sistem NG MERS 999 merupakan sistem kecemasan generasi baharu negara yang dibangunkan untuk menyediakan perkhidmatan lebih pantas, tepat, moden dan inklusif,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan KKM, KK dan TM hari ini.
Selain penglibatan tiga agensi terbabit, sistem NG MERS 999 dibangunkan hasil kerjasama strategik bersama empat agensi kecemasan utama negara iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Kenyataan itu memberitahu, semakan teknikal oleh TM mengesahkan bahawa sistem NG MERS 999 beroperasi seperti biasa, termasuk prosedur penyaluran kes menggunakan prinsip nearest available bagi memastikan aset kecemasan terhampir dapat digerakkan secepat mungkin.
“Bagi pihak KKM, usaha memperkukuh respons di lapangan terus dipertingkatkan melalui penambahan ambulans, penyusunan semula penugasan petugas di kawasan strategik serta penglibatan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
“Usaha ini sebagai sebahagian daripada keupayaan respons kecemasan negara. Penilaian berterusan terhadap keupayaan koordinasi dan ketersediaan aset juga sedang dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan,” kata kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, perkhidmatan 999 melalui panggilan suara kekal berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan seperti biasa, jelas kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan bersama itu menyebut, aplikasi SaveME999 pula berfungsi sebagai saluran tambahan, khususnya untuk pengguna yang memerlukan ciri komunikasi melalui teks, video dan multimedia, selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan dan keterangkuman respons kecemasan negara.
“TM akan terus memperkukuh keupayaan sistem dan aplikasi NG MERS 999, termasuk perisian serta proses teknikal yang berkaitan, bagi memastikan prestasi dan pengalaman operasi yang lebih lancar untuk semua agensi kecemasan,” kata kenyataan itu.


