CADANGAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya kuota bulanan subsidi bahan api dimansuhkan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab yang menurut ahli ekonomi boleh menjejaskan kemampanan fiskal negara selain berulangnya ketirisan meruncing.
Ketua Pegawai Eeksekutif Center for Market Education, Carmelo Ferlito menyifatkan, alasan kestabilan harga diesel serta petrol di pasaran ketika ini tidak sepatutnya digunakan untuk mencadangkan langkah populis jangka pendek.

Beliau berkata, perubahan kepada subsidi terbuka berisiko menyebabkan beban fiskal kembali meningkat jika harga bahan api di pasaran dunia kembali melonjak yang jika berlaku kesannya ditanggung rakyat sebagai pembayar cukai.
Krisis Asia Barat menyebabkan jumlah tanggungan subsidi kerajaan melonjak sehingga kira-kira RM5 bilion sebulan mulai Mac berbanding RM500 juta bagi dua bulan pertama tahun ini.
“Pengajaran utama ialah subsidi mampu ditanggung ketika harga stabil.
“Tetapi, apabila harga global meningkat mendadak, kos menampungnya boleh melonjak cepat dan akhirnya pembayar cukai menanggung perbezaannya,” katanya, lapor FMT.
Ferlito berkata, pemansuhan kuota tanpa reformasi lebih menyeluruh hanya akan mengembalikan masalah lama iaitu pendedahan subsidi yang tidak terkawal dan ketirisan menyebabkan kerugian besar.
Pensyarah Kanan Pembangunan Ekonomi di Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Tan Peck Leong pula berkata, pemansuhan kuota seperti dicadangkan Menteri Besar Johor itu boleh melemahkan perubahan tingkah laku seperti penggunaan bahan api lebih cekap, amalan berkongsi kenderaan, penggunaan pengangkutan awam dan perancangan mobiliti bandar lebih baik.

Katanya, data menunjukkan kurang satu peratus pengguna menggunakan lebih daripada kuota bulanan 200 liter bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diselaraskan sejak 1 April lalu.
“Penjimatan daripada pelaksanaan kuota subsidi bahan api tu perlu dilaburkan dalam pengangkutan awam, kesalinghubungan peringkat awal dan akhir perjalanan, bantuan tunai bersasar, kesihatan, pendidikan serta infrastruktur luar bandar,” katanya.
Mereka mengulas laporan Oriental Daily berhubung gesaan Onn Hafiz supaya Putrajaya memansuhkan kuota bulanan bagi pembelian bahan api bersubsidi, khususnya petrol RON95 dan diesel.
Onn Hafiz mendakwa menerima aduan yang kuota 200 liter bagi RON95 tidak mencukupi, manakala kuota diesel untuk perniagaan pula menyebabkan kos operasi meningkat.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Johor itu turut mempersoalkan keperluan untuk terus mengehadkan pembelian bahan api bersubsidi dengan berkata, harga minyak mentah ‘sudah stabil’.
Sementara itu, Syaza Shukri berkata, tindakan Onn Hafiz mencerminkan bagaimana kebanyakan ahli politik cenderung mengutamakan kelangsungan politik dengan menumpukan keuntungan jangka pendek seperti keputusan pilihan raya.

Onn Hafiz kini sedang berjuang untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Menurut penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, populisme sering mengatasi pertimbangan lain dalam sistem demokrasi sehingga menyukarkan kemunculan pemimpin sanggup membuat keputusan sukar demi kepentingan negara.
Syaza berkata, jika kerajaan berpatah balik daripada reformasi itu, ia akan mewujudkan jangkaan yang tidak sihat bahawa reformasi hanya langkah sementara ketika berdepan krisis.
“Sebarang usaha pada masa depan akan menjadi sukar,” katanya menyamakan situasi itu dengan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Selepas dimansuhkan, usaha memperkenalkannya semula menjadi cabaran politik walaupun ia mungkin membawa lebih banyak manfaat.”
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula hairan dengan kenyataan Onn Hafiz berhubung kuota subsidi menjelang PRN Johor memandangkan perkara itu melibatkan dasar di peringkat Persekutuan yang UMNO sebahagian anggotanya.

“Sangat pelik kerana Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid) ialah Timbalan Perdana Menteri dan sebahagian anggota Kabinet membuat keputusan itu,” katanya.
Menurutnya, walaupun pemansuhan kuota mungkin selari dengan sentimen popular, ahli politik tidak sepatutnya mengetepikan punca kuota itu diperkenalkan pada asalnya.





