JPJ nafi video kononnya petugas bergaduh dengan pelanggan, dipercayai dijana AI

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan kesahihan video tular di TikTok yang memaparkan kononnya berlaku pertelingkahan antara orang awam dengan petugas kaunter jabatan itu, sambil menyifatkan kandungan berkenaan sebagai palsu dan dipercayai dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok Irfan Zaky @silento_91 itu mengandungi dakwaan tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, semakan awal mendapati video berkenaan dimanipulasi menggunakan teknologi AI sehingga memberi gambaran seolah-olah insiden itu benar-benar berlaku di premis JPJ.

“JPJ ingin menegaskan bahawa video berkenaan adalah palsu dan dipercayai dijana menggunakan teknologi AI.

“Kandungan tersebut mencetuskan kekeliruan, bersifat provokasi serta mencemarkan imej dan reputasi jabatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, video itu turut menggunakan pelbagai elemen yang menyerupai identiti rasmi kerajaan termasuk susun atur pejabat, paparan visual serta penggunaan nama dan logo JPJ.

Katanya, jabatan memandang serius penyebaran kandungan palsu berkenaan kerana boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Terdahulu, video tular itu memaparkan situasi kononnya seorang pelanggan tidak berpuas hati kerana hanya satu kaunter dibuka selain mendakwa petugas masih berehat walaupun waktu rehat tengah hari telah berakhir.

Aedy Fadly berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang kandungan yang belum disahkan kesahihannya.

“Orang ramai disaran mendapatkan maklumat hanya melalui saluran komunikasi rasmi JPJ bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran berita palsu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img