Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) amat kesal dan dukacita dengan tahap keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan sekarang yang kelihatan semakin tidak terkawal sehingga melibatkan siri-siri kematian pelajar.
Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden terbaharu adalah kematian seorang pelajar tahun empat sebuah sekolah di Seremban yang disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam sekolah.
‘’ Siasatan terperinci perlu dijalankan segera untuk menyiasat apakah pelajar tersebut telah meninggal semasa dijumpai di sekolah itu. Siasatan juga perlu menumpukan kemungkinan kematian pelajar berkenaan adalah akibat perbuatan jenayah iaitu membunuh, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, apa yang menghairankan difahamkan kes ini hanya diklasifikasikan sebagai kes buli dan disiasat di bawah seksyen 507C, Kanun Keseksaan, bukannya satu kes bunuh di bawah seksyen 302, Kanun yang sama.
‘’Perikatan Nasional (PN) juga kesal kerana Menteri Pendidikan kelihatan tidak mengambil langkah segera yang serius termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan di peringkat kementeriannya, sebaliknya hanya mengatakan banyak yang perlu diperhalusi dan ia mengambil masa sebelum memaklumkan perkara ini ke pengetahuan masyarakat umum.
‘’Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat terutamanya untuk para pelajar, namun kejadian malang yang berlaku saban waktu menunjukkan kegagalan semua pihak berkaitan Kementerian Pendidikan menjamin keselamatan,’’ katanya



