Solidariti penyokong Norway terhadap Palestin ‘tenggelamkan’ hatrick Haaland

Penyokong bola sepak Norway mengibarkan sepanduk bertulis “Biarkan Kanak-Kanak Hidup” bersama bendera Palestin ketika protes politik mencuri tumpuan dalam kemenangan 5-0 pasukan mereka ke atas Israel.

Erling Haaland menjaringkan hatrik walaupun gagal menyempurnakan dua sepakan penalti, sekali gus hampir memastikan tempat Norway ke Piala Dunia 2026.

Namun, tumpuan utama di Oslo bukan sekadar pada aksi di padang, sebaliknya kepada lautan bendera Palestin yang kelihatan di segenap sudut stadium selepas ratusan penyokong berarak menuju ke Stadium Ullevaal sebagai tanda protes terhadap Israel.

Lebih 67,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban akibat serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, selepas kumpulan militan yang menyokong Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang di Israel.

Bendera dan suar menghiasi langit malam Oslo ketika penyokong Norway yang marah berarak menuju ke stadium sambil membawa bendera serta sepanduk pro-Palestin. Ramai penduduk tempatan turut menggantung bendera Palestin di balkoni rumah mereka sepanjang laluan ke stadium.

Di dalam stadium, bendera Palestin berkibar di merata tempat dan seorang penyokong yang memakai baju bertulis “Free Gaza” bertindak berlari masuk ke padang sebagai tanda protes. Dia kemudiannya ditahan oleh pengawal keselamatan dan dibawa keluar.

Pihak berkuasa bola sepak Norway mengambil pendirian tegas terhadap penyertaan Israel dalam kelayakan Piala Dunia.

Menjelang perlawanan itu, Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF) mengumumkan semua hasil kutipan tiket perlawanan pada Sabtu akan disalurkan bagi bantuan kecemasan di Gaza.

Presiden NFF, Lise Klaveness, sebelum ini menjelaskan bahawa badan induk tersebut “tidak boleh berdiam diri terhadap penderitaan kemanusiaan” yang berlaku.

Pada September lalu, Klaveness turut menyatakan dalam podcast Pop and Politics bahawa beliau percaya pasukan bola sepak Israel tidak sepatutnya dibenarkan bertanding dan perlu digantung seperti Rusia ketika perang di Ukraine.

Pada Jumaat, tentera Israel mula menarik balik pasukan mereka sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang sedang dilaksanakan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img