
Ada sebuah kawasan kediaman elit di sebuah bandar di kepulauan Borneo, yang puak mereka bangunkan khusus dan eksklusif untuk didiami oleh suku-sakatnya sahaja. Mereka mampu buat begitu, tak perlukan pembeli dari pasaran terbuka. Ini kerana kekuatan kuasa ekonomi yang mereka miliki.
Berbeza dengan Kampung Baru Kuala Lumpur. Status MAS (Malay Agriculture Settlement) yang diberikan sejak zaman British dengan perkenan baginda Sultan Selangor kira-kira 100 tahun lalu sepatutnya menjadi satu kawasan pembangunan milik bangsa Melayu, yang begitu eksklusif. Kawasan seluas sekitar 121 hektar (300 ekar) berada di lokasi teramat strategik.
Dalam pada itu, ada pihak yang menakrifkan pelbagai syarat dan sekatan pembangunan tanah berstatus MAS itu sebagai punca sukarnya ia untuk dimajukan. Banyak pihak termasuk dalam kalangan bangsa Melayu sendiri termakan dengan pemikiran sedemikian.
Tentunya percaturan mengazetkan tanah-tanah itu di bawah MAS ada alasannya. Kitalah yang perlu memikirkannya dengan kebijaksanaan, bagi mentafsir niat tersirat. Hendaknya, suatu hari nanti kawasan tanah berstatus MAS itu mampu menjadi kawasan kediaman dan ekonomi ikonik, eksklusif dan berprestij, sepenuhnya dimiliki, dimajukan oleh dan untuk orang Melayu.
Sudah 68 tahun merdeka. Cita-cita mat jenin ingin melihat Kampung Baru membangun sebagai sebuah kawasan pembangunan ikonik terus hanyut. Malah saban hari kemelut pembangunan yang menjadi bahan perdebatan banyak pihak, manakala di lapangan pula, penduduk di sana mula berbalah sesama sendiri.
Bagitulah juga halnya dengan ekonomi bangsa Melayu. Sudah 68 tahun merdeka, ekonominya pun senasib dengan pembangunan Kampung Baru. Sekalipun ada Dasar Ekonomi Baru 1970 (DEB 1970) yang ditamatkan riwayatnya secara tergesa-gesa dan diganti dengan pelbagai dasar, kesejahteraan bangsa Melayu tidak banyak berubah.
Ada kemajuan tetapi berbanding kemajuan lain-lain bangsa, bangsa Melayu terus tercicir. Sudah banyak Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan sama ada oleh kerajaan, dewan perniagaan, malah oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) sendiri. Hingga kini sudah lapan kali kongres sedemikian dianjurkan namun bangsa Melayu semakin terkial-kial untuk bersaing.
Nampaknya, nasib pembangunan Kampung Baru dan kemajuan ekonomi bangsa Melayu adalah serupa. Hatta bolehlah dinyatakan pembangunan Kampung Baru itu adalah simbolik kepada kemampuan bangsa Melayu memajukan ekonomi dan kesejahteraannya.
Jika itu realitinya, pembangunan Kampung Baru adalah juga simbolik kepada:
* Sejauh mana waad yang diwasiatkan di dalam Wasiat Raja-Raja Melayu, benar-benar. memanfaatkan bangsa Melayu, jika benarlah Wasiat itu wujud dan sahih?
* Sejauh manakah manfaat Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang maksud tersiratnya sebagai ‘pampasan’ kepada bangsa Melayu, di atas keikhlasannya berkongsi kerakyatan dengan mereka yang bermastautin di negara ini, yang di zaman pra merdeka, mereka itu bukan bertaraf warganegara, di bumi berdaulat ini?
* Tahap kematangan kepimpinan politik bangsa Melayu, menterjemahkan kesungguhan politik mereka bagi memperkasakan bangsa Melayu, mengikut peruntukan Perkara 153 itu.
* Tahap kemampuan dan kesungguhan tadbir urus dan pengupayaan oleh pelbagai institusi eksekutif yang hampir kesemuanya diterajui bangsa Melayu, dan,
* Tahap kemampuan bangsa Melayu memajukan ekonominya, sekaligus menjadi penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi dan kemakmuran negara ini. Bagi pembangunan Kampung Baru, sekalipun sudah ditubuhkan sebuah perbadanan khusus untuk merencanakan pembangunan kawasan seluas kurang 121 hektar itu, wajah lesu Kampung Baru, tidak banyak berubah sejak 50 tahun lalu.
Begitulah juga kemajuan… ekonomi bangsa Melayu dengan begitu banyak dasar dan kongres, tangisan dan keluhan komuniti ekonomi bangsa Melayu tetap sama dan senada. Sebagai mat jenin, saya ingin melontarkan satu saranan yang amat mudah ditulis, yang pastinya tidak realistik dan tidak mungkin akan tercapai.
Bagi mat jenin, untuk membangun dan memajukan Kampung Baru, dengan pada masa sama mengekalkan statusnya sebagai tanah MAS, semua institusi kepentingan bangsa Melayu mesti memiliki kekuatan, kesungguhan dan keberanian yang luar biasa, untuk bertindak dengan kebersamaan minda:
Pertama, institusi pemerintah mesti menguatkuasakan sepenuhnya Perkara 153 yang mengandungi 10 Fasal. Kesemua Fasal itu meletakkan tanggungjawab di atas bahu Yang di- Pertuan Agong, untuk menitah dan mencipta apa juga peluang istimewa kepada bangsa Melayu;
Kedua, bertindak di atas titah itu, kerajaan tanpa mengira dari institusi politik mana sekalipun, mesti membuat dasar khusus di bawah akta sebagai punca kuasa, untuk melahirkan ratusan, malah ribuan perbadanan atau syarikat pemaju bumiputera, yang berkaliber dan berintegriti.
Pemaju yang dilahirkan ini mestilah komited memajukan ekonomi bangsa Melayu, bermula dengan pembangunan Kampung Baru sebagai bandar ikonik;
Ketiga, bertindak di atas titah itu juga, kerajaan mesti menggubal Akta Kesaksamaan Peluang, bagi membolehkan ratusan ribu anak bangsa Melayu berbakat, memperolehi pekerjaan sesuai dengan kelulusan cemerlang dan bakat terbilang untuk menceburi sektor swasta.
Akta ini juga terpakai untuk melindungi usahawan anak bangsa Melayu, menceburi pelbagai bidang industri, agar tidak didiskriminasi dalam mendapatkan peluang bisnes, terutama yang berstatus bernilai tinggi dan berpertumbuhan tinggi. Ini termasuk peluang berperanan sebagai vendor kepada syarikat swasta, GLC, PLC dan MNC.
Dengan cara ini negara akan lebih mampu melahirlah ramai anak bangsa Melayu berpendapatan tinggi, mampu membeli aset kediaman atau aset ekonomi atau menjalankan bisnes bernilai tinggi di premis yangdibangunkan oleh pemaju di Kampung Baru.
Keempat, bertindak di atas titah itu, semua institusi eksekutif termasuk institusi pengupaya, terutama bank, mesti berperanan secara kolektif, diselaras dengan penuh keberkesanan bagi melaksanakan amanah dengan penuh integrity serta mengupayakan semua pemaju dan pembeli hartanah dalam kalangan bangsa Melayu.
Hendaknya tidak terdengar lagi pelbagai cerita si kitol, yang menjadi perosak agenda pembangunan bangsa.
Kelima, pemaju yang dilahirkan daripada agenda ini hendaknya dalam kalangan mereka yang kental jati dirinya sebagai bangsa Melayu yang hebat, bermaruah dan diberkati.
Pada masa ini sudah ada ramai dalan kalangan mereka yang berjaya. Hibanya, mereka ini memilih untuk menjadi golongan elit yang memisahkan dirinya daripada kelompok bangsanya.
Keenam, golongan menengah Melayu yang dilahirkan daripada agenda ini hendaknya tidak mudah terjerat dalam ‘perangkap pendapatan menengah’ (middle income trap). Hendaknya mereka mampu meneruskan mobiliti sosial menaik, mobiliti teknologi dan sebagainya, sebagai legasi yang mesti diteruskan oleh generasi anak bangsa. Seperti yang saya katakan di awal rencana ini, untuk saya menulis rencana ini sedemikian rupa memanglah amat mudah. Indah khabar dari rupa. Ilham mat jeninlah katakan.
Namun, untuk ia diralisasikan, tulisan saya seolah-olah sekadar mengajukan cadangan kepada lain-lain pihak untuk mengambil tindakan. Tindakan mereka itu mestilah membuahkan kejayaan yang saya kehendaki.
Sayugia kita semua maklum, Perbadanan Kampung Baru diterajui mereka yang berkaliber. Ahli Parlimennya pula adalah tokoh korporat tersohor yang diketahui bidang kepakarannya, terutama dalam ‘management turn-around’.
Lagi kompleks sesuatu permasalahan untuk dirungkai, lagi terujalah beliau untuk merungkainya. Pastinya telah ada di dalam pemikiran beliau cara dan pendekatan bagaimana Kampung Baru ini boleh dimajukan, menjadi Lembah pembangunan ikonik di Kuala Lumpur. Barangkali beliau hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
Apa pun, Kampung Baru dalam keadaannya kini, adalah simbolik kepada kemunduran ekonomi bangsa Melayu. Apa pun, peluang dan kemajuan ekonomi bangsa Melayu, yang dilindungi peruntukan amat jelas dan tegas (Perkara 153), belum diterjemahkan menjadi titah, arahan mahupun kesungguhan oleh pelbagai institusi yang diamanahkan menjaga kepentingan bangsa ini.
Rata-rata projek hartanah di Kampung Baru, kecuali satu dua yang boleh dibanggakan, tidak lebih daripada pembangunan berstatus 3 bintang, atau rendah. Begitu juga dengan aktiviti bisnes utama di Kampung Baru. Tidak nampak banyak bisnes berstatus ‘high-value & high-income’ dan menggunapakai teknologi terkini.
Itulah juga senario kemajuan ekonomi bangsa Melayu. Malah ekonomi halal dan kewangan Islam pun gagal dikuasainya, jauh sekali diterajui oleh bangsa Melayu. Alahai! Jikalah ekonomi bangsa Melayu telah maju membangun, tentunya ramai yang mampu menjadikan Kampung Baru, hab global ekonomi halal dan hab antarabangsa kewangan islam.
Jika benar bangsa Melayu menguasai bidang pendidikan dan latihan, takkan tiada satu pun IPT awam atau swasta membuka cawangan, atau kampus induk di Kampung Baru. Jika demikian senarionya, masakan majoriti mereka yang berniaga atau bermastautin di Kampung Baru tergolong dalam kategori berpendapatan tinggi, sedangkan Malaysia diunjur akan berstatus ‘Negara Berpendapatan Tinggi’ menjelang 2028. (Panduan IMF, GDP/kapita minimum bagi negara berstatus berpendapatan tinggi ialah USD14,000).
Amat mencemaskan, ialah apabila DOSM dalam bancian perangkaan 2024 yang jelas memaparkan di antara tiga etnik utama, GDP/kapita bumiputera jauh lebih rendah berbanding etnik Cina dan India, malah berada di bawah purata nasional. (DOSM: Pendapatan Isirumah Malaysia 2024: Purata RM 9,155; Cina RM 11,494, India RM 9,841; Bumiputera RM 8,220; Lain-lain RM 6,310)
Jelas siaran DOSM itu lagi, jurang pendapatan antara etnik adalah yang terendah sejak 50 tahun kebelakangan ini, yang dibandingkan olehnya sejak 1974. Betullah telahan saya, rencana ini amat mudah mencadangkan itu dan ini. Ia semudah ilham mat jenin.
Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)



