
KETIKA ke bandar Merlimau minggu lalu penulis terlihat banyak poster Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Merlimau yang diwakili oleh beliau sebagai ADUN sejak 2021.
Sememangnya Dr.Muhamad Akmal yang terkenal dengan kelantangannya terhutang budi dengan pengundi-pengundi DUN tersebut kerana merekalah yang bertanggungjawab mengundi bagi membolehkan beliau menjadi wakil rakyat kali pertama.
Bagaimanapun hantaran di Facebook hari ini menimbulkan persoalan adakah Dr.Muhamad Akmal akan berpindah DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November nanti.

‘’ Terima kasih Merlimau..Selepas ini ke mana? Kalau ke Serkam atau Sungai rambai boleh ke? Atau ada cadangan lain?,’’ tulis Dr.Muhamad Akmal dalam Facebook beliau.
Pada PRN lalu, ketiga-tiga DUN tersebut yang terletak dalam Parlimen Jasin dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
Bagi DUN Merlimau Dr.Muhamad Akmal menang dengan majoriti 3,248 undi. Beliau yang mendapat 5,633 undi menewaskan Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi dan Abd Alim Shapie (PN-Pas).
Untuk DUN Sungai Rambai, BN memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,137 undi melalui Siti Faizah Abdul Azis yang mendapat 3,801 undi untuk menewaskan cabaran daripada tiga calon lain iaitu Farzana Hayani Mohd Nasir (PH – PKR) yang memperolehi 1,356 undi dan Nazatul Asyraf Md Dom (PUTRA) – 84 undi.
Pertarungan di DUN Serkam lebih sengit apabila Calon BN Mohd Zaidi Attan menang dengan majoriti tipis 79 undi selepas mendapat 5,038 undi. Beliau ditentang sengit oleh Calon PN-Pas Ahmad Bilal Rahudin yang memperolehi 4,959 undi.
Tiga calon lain ialah Muhammad Khomeini Kamal (PH – Amanah) – 1,535 undi, dan Norazlanshah Hazali (Bebas) – 99 undi. Walaupun menang tipis di DUN Serkam, ia tetap membolehkan BN meneruskan penguasaan di ketiga-tiga DUN tersebut dalam setiap pilihan raya.
Persoalannya ke mana Dr.Muhamad Akmal? Untuk PRN Melaka 2026 ketiga-tiga DUN itu tetap kerusi selamat untuk BN jika UMNO membuat keputusan bekerjasama dengan Pas.
Selain itu Dr.Muhamad Akmal dianggap antara calon popular dalam PRN kali ini disebabkan kelantangan beliau dalam memperjuangkan sesuatu isu. Malah pendirian tegas menolak kerjasama UMNO dengan PH khusus juga akan memberi kelebihan kepada beliau.
Orang Melaka melihat Dr.Muhamad Akmal pemimpin masa depan Melaka selain ADUN Paya Rumput Datuk Rais Yasin dan ADUN Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta ADUn Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Justeru sudah pastilah BN Melaka yang diterajui oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak akan mensia-siakan barisan pelapis kepimpinan negeri Melaka itu.
Sebagai salah seorang yang tinggal dalam Parlimen Jasin, penulis sering sahaja mendengar penduduk memuji Dr.Muhamad Akmal termasuklah khidmat di DUN Merlimau.
Apapun Dr.Muhamad Akmal hanya melontarkan hasrat, keputusan muktamad tetap di tangan pucuk pimpinan parti namun yang pasti beliau antara ‘benih pemimpin politik terbaik’ dilahirkan UMNO Melaka..oleh itu jangan sia-siakan.





