DATUK Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Pembangunan Daerah Kulim bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor.
Perdana Menteri berkata, ia merupakan Mesyuarat Pembangunan Daerah ketiga yang selepas Bentong pada Januari lalu dan Kinta pada Februari.

‘’Pendekatan ini penting bagi memastikan dasar dan projek yang diumumkan tidak terhenti di peringkat perancangan, sebaliknya dilaksanakan dengan berkesan hingga ke peringkat daerah.
‘’Saya tegaskan kepada Pegawai Daerah dan pasukannya agar memantau secara rapat pelaksanaan projek yang berkepentingan kepada rakyat, khususnya yang bersifat mendesak,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Beliau berkata, projek seperti penambahan bilik darjah bagi persediaan kemasukan murid Tahun 1 serta pembaikan sekolah daif mesti disegerakan, tanpa terikat dengan karenah birokrasi yang sering melambatkan tindakan.
‘’Perhatian juga mesti diberikan kepada penyelesaian isu setempat yang lama membelenggu rakyat seperti banjir kilat, tanah runtuh, lampu jalan, kediaman daif serta kekurangan infrastruktur asas di kawasan penempatan dan perindustrian.
‘’Saya turut menegaskan bahawa maklumat keperluan projek dan peruntukan mesti diselaraskan dengan lebih cekap antara semua pihak agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
‘’Masalah rakyat tidak boleh dibiarkan berlarutan dan setiap usaha yang dirancang perlu benar-benar membawa penyelesaian yang dirasai di lapangan,’’ katanya.

Dalam lawatan kerja ke Pulau Pinang dan Kedah itu, Anwar turut merasmikan Masjid Jamek Mengkuang Titi, Permatang Pauh yang telah siap dibina hasil kerjasama dan sumbangan ahli kariah, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
‘’Pembinaan masjid ini adalah manifestasi usaha membangun dan mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab bersama masyarakat dan pemerintah, seperti yang dianjurkan dalam al-Quran.
‘’Saya turut menghargai pengenalan program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di masjid ini sebagai usaha merancakkan penglibatan anak muda menjadikan masjid sebagai ruang yang hidup, bukan sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat ilmu, pembinaan sahsiah dan kegiatan masyarakat,’’ katanya.

Dalam kesibukan menghadiri acara rasmi, Anwar tetap mengambil kesempatan pulang sebentar ke rumah keluarganya di Cherok Tokun untuk abang dan adik serta keluarga terdekat lain sebelum bertolak ke Kedah.
Beliau juga menjengah Bazar Ramadan Taman Selaseh di Kulim yang meriah dengan orang ramai mencari juadah berbuka.


