‘Arwah bukan kaki gaduh, dia keluar mahu tolong kawan’ – Rakan

RAKAN baik Allahyarham Ahmad Shah menyifatkan pemuda itu sebagai seorang yang peramah, ringan tulang dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain sehingga sanggup keluar dari rumah untuk membantu rakannya sebelum menjadi mangsa tikaman di Korea Selatan.

Muhamad Jalalludin Othman, 35, berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak 2017 ketika mereka bekerja bersama di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Korea Selatan pada 2019 untuk mencari rezeki.

Menurutnya, sepanjang persahabatan itu, Allahyarham banyak membantunya termasuk menguruskan pekerjaan sebaik mereka tiba di negara berkenaan.

“Saya kenal arwah sejak 2017. Kami bekerja bersama sebelum sama-sama ke Korea pada 2019. Dialah yang banyak membantu uruskan kerja dan kehidupan kami di sana.

“Kami sama-sama susah dan sama-sama senang. Memang arwah seorang yang sangat baik,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.

Muhamad Jalalludin berkata, beliau mengetahui kejadian menimpa rakannya itu selepas dimaklumkan oleh isterinya yang menerima berita daripada ahli keluarga mereka di Korea Selatan.

Katanya, beliau kemudian menghubungi isteri Allahyarham bagi mendapatkan kepastian sebelum dimaklumkan bahawa rakannya itu meninggal dunia akibat ditikam.

Sementara itu, isteri Muhamad Jalalludin, Julaina Jafri, 36, berkata, beliau masih sukar mempercayai berita pemergian Allahyarham memandangkan mereka begitu rapat.

Menurutnya, berdasarkan cerita isteri Allahyarham, kejadian berlaku ketika mereka sedang berehat sebelum menerima panggilan daripada seorang rakan yang meminta pertolongan.

“Arwah sebenarnya sedang tidur. Bila kawannya telefon minta tolong, dia terus bangun dan pergi membantu.

“Tetapi mereka tak sangka ada individu yang membawa senjata sehingga arwah ditikam,” katanya.

Julaina berkata, beliau kesal apabila timbul pelbagai spekulasi di media sosial yang menggambarkan Allahyarham sebagai seorang yang suka bergaduh dan mabuk.

Katanya, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang baik, tidak pernah mencari masalah dan sentiasa memudahkan urusan orang lain.

“Arwah bukan kaki gaduh, bukan gangster dan dia juga tidak minum arak. Yang mabuk ialah individu yang menikamnya.

“Dia memang keluar kerana mahu membantu kawannya. Itu memang sifat arwah, kalau orang minta tolong dia akan bantu,” katanya.

Beliau berkata, kehilangan Allahyarham amat dirasai kerana mereka sudah lama bersahabat, dengan pertemuan terakhir mereka ketika sambutan Aidilfitri pada tahun 2024.

Sebelum ini, Ahmad Shah, 26, yang bekerja dalam sektor perkilangan di Korea Selatan sejak 2019, meninggal dunia di sebuah hospital di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian perut akibat ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan.

Beliau dipercayai ditikam pada malam Sabtu, 25 Julai lalu di Daeso-eup, Daerah Eumseong, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi Ahad akibat kecederaan yang dialaminya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img