SEORANG lelaki maut selepas tersepit dalam lori muatan tiga tan dipandunya yang terbalik dan mengakibatkan kesesakan trafik sejauh tiga kilometer di kedua-dua arah berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Simpang Ampat arah utara di Alor Gajah petang ini.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas tersepit dalam lori jenis Isuzu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 petang sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 4.28 petang.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kemalangan melibatkan kenderaan berat itu menyebabkan aliran trafik mengalami kesesakan tiga kilometer di kedua-dua arah ketika kerja penyelamatan dan pengurusan kemalangan dijalankan.
“Operasi terkawal pada jam 4.54 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 5.55 petang sebelum anggota serta jentera kembali ke balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi membabitkan seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dengan bantuan BBP Ayer Keroh dan turut dibantu anggota KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).






