UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Yayasan MR DIY bagi memperkukuh pembangunan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi tajaan berjumlah RM113,995 kepada program Perak Metamorphosis of Young STEMers (PMOYST).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar berkata, kerjasama berkenaan membuktikan sinergi antara universiti dan sektor korporat mampu menghasilkan nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan pendidikan negara.

Menurut beliau, pembangunan generasi masa hadapan memerlukan penglibatan semua pihak secara kolektif dan berterusan, khususnya dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdaya saing dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan.
“Kerjasama strategik bersama Yayasan MR DIY pada hari ini merupakan satu langkah yang amat bermakna dalam memperkukuh usaha memperkasa pendidikan STEM di negara ini.
“Tajaan berjumlah RM113,995 ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan UPSI, khususnya Fakulti Sains dan Matematik, dalam melaksanakan program pembangunan STEM yang mampu memberikan impak besar kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoA antara UPSI dan Yayasan MR DIY di Bilik Seminar Fakulti Sains dan Matematik, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan DIY, Dr Zaleha Mohd Mydin; Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr Mohd Izwan Shahril.
Suriani berkata, melalui gabungan kepakaran akademik UPSI dan komitmen sosial Yayasan MR DIY, lebih ramai murid akan memperoleh peluang untuk meneroka potensi mereka dalam bidang STEM serta membina keyakinan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Program PMOYST yang diperkenalkan oleh FSM UPSI sejak tahun 2011 pada asalnya merupakan inisiatif bagi menyemai minat murid terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif, menyeronokkan dan berimpak tinggi.
Ketika ini, program berkenaan telah berkembang melangkaui negeri Perak dan memberi manfaat kepada murid sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional serta pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Dalam pada itu, Suriani berkata, UPSI sentiasa komited melahirkan pendidik, penyelidik, inovator dan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki integriti, sahsiah unggul dan jati diri yang kukuh.
“Pelaburan terbaik bukanlah pada bangunan atau teknologi semata-mata, tetapi pada pembangunan insan. Apabila universiti dan industri berganding bahu, kita bukan sahaja membina program, malah sedang membentuk masa hadapan negara melalui generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia,” katanya.






