FOKUS
GANGGUAN rantaian bekalan global dan turun naik harga minyak mentah membuktikan bahawa keselamatan tenaga kini sudah berkait rapat dengan kedaulatan negara.
Bagi Malaysia, yang masih bergantung kepada diesel untuk sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perindustrian, Biodiesel B15 merupakan langkah strategik untuk memperkukuh bekalan tenaga serta mengurangkan kerentanan terhadap gangguan luar.
Pada Mei lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, mengumumkan pelaksanaan Biodiesel B15 yang berkuat kuasa mulai 1 Jun. Dengan meningkatkan penggunaan sumber tempatan secara berfasa, kerajaan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada diesel import, malah mewujudkan ruang penampan penting ketika gangguan geopolitik terus menekan pasaran tenaga dunia.
Pelaksanaan B15, yang meningkatkan campuran biodiesel berasaskan sawit daripada 10 peratus kepada 15 peratus, bukan sekadar perubahan kepada spesifikasi bahan api. Sebaliknya, ia mencerminkan strategi negara untuk memanfaatkan sumber tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada diesel import, di samping memperkukuh industri sawit yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.
Keunikan Biodiesel B15 ialah keseluruhan rantaian nilainya bermula di dalam negara. Ia bermula di ladang-ladang sawit yang diusahakan oleh ratusan ribu pekebun kecil. Buah tandan segar diproses menjadi minyak sawit mentah sebelum ditapis dan ditukar kepada Palm Methyl Ester (PME), komponen biodiesel yang kemudiannya dicampurkan dengan diesel petroleum bagi menghasilkan Biodiesel B15.
Ringkasnya, hasil tanaman yang diusahakan rakyat Malaysia akhirnya menjadi sebahagian daripada bahan api yang menggerakkan lori, bas, jentera pertanian dan pelbagai sektor ekonomi.
Konsep “daripada ladang kepada tenaga” ini memperlihatkan bagaimana komoditi tempatan bukan sahaja menjana pendapatan eksport, malah turut memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan strategik negara.
Salah satu objektif utama Biodiesel B15 ialah mempelbagaikan sumber tenaga negara.
Dalam keadaan pasaran minyak dunia sering dipengaruhi konflik antarabangsa, sekatan perdagangan dan gangguan logistik, memiliki sumber bahan api alternatif daripada pengeluaran domestik memberi kelebihan kepada Malaysia.
Kementerian Perladangan dan Komoditi menganggarkan pelaksanaan B15 mampu mengurangkan penggunaan diesel petroleum sekitar 334,000 tan setahun, bersamaan hampir 387 juta liter diesel, sekali gus memanjangkan bekalan diesel negara sehingga kira-kira 20 hari. Ini membuktikan bahawa biodiesel bukan sekadar dasar menyokong industri sawit, malah merupakan instrumen penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara.
Pelaksanaan Biodiesel B15 turut membawa manfaat ekonomi yang melangkaui sektor tenaga.
Setiap liter biodiesel yang digunakan bermaksud lebih banyak permintaan terhadap minyak sawit tempatan. Ini mewujudkan kesan limpahan kepada keseluruhan ekosistem industri, termasuk pekebun kecil, kilang sawit, loji biodiesel, syarikat logistik serta sektor hiliran.
Apabila permintaan domestik meningkat, industri sawit tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pasaran eksport yang sentiasa berubah mengikut keadaan ekonomi dunia. Kepelbagaian pasaran ini membantu menjadikan industri sawit Malaysia lebih stabil dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif FGV Biotechnologies Sdn Bhd, Roziyatulshima Zamil berkata, pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 merupakan langkah positif dalam memperkukuh penggunaan sumber tenaga tempatan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat.
“Biodiesel dihasilkan melalui pemprosesan minyak sawit mentah yang melalui proses kimia dikenali sebagai transesterifikasi bagi menghasilkan palm methyl ester yang memenuhi spesifikasi bahan api,” katanya.
Dalam konteks keterjaminan tenaga, Roziyatulshima berkata pengeluaran minyak sawit negara yang mencecah kira-kira 20 juta tan setahun mampu menyokong keperluan domestik tanpa menjejaskan bekalan sektor lain.
Keselamatan tenaga bukan hanya bergantung kepada jumlah bahan api yang dimiliki, tetapi juga keupayaan negara menghasilkan sebahagian daripada keperluannya sendiri.
Biodiesel B15 bukan sekadar bahan api campuran, tetapi simbol keupayaan Malaysia memperkukuh keselamatan tenaga negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada diesel import sebaliknya memenuhi sebahagian keperluan bahan apinya melalui sumber tempatan.
Pada masa sama, ia menyokong pekebun kecil, ekonomi domestik serta kesiapsiagaan Malaysia menghadapi gangguan global.





