Bapa Irene Sofiya tekad perjuangkan keadilan buat anak tunggal

BAPA kepada Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, bertekad memastikan anak tunggalnya mendapat pembelaan sewajarnya selepas pelajar itu ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa pembunuhan di sebuah sekolah di Yong Peng, semalam.

Mohd Khairool Faisal Khyar, 42, berkata, beliau bersama keluarga akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan berharap individu yang bertanggungjawab terhadap kematian anaknya menerima hukuman setimpal.

“Saya akan terus berjuang agar anak saya mendapat keadilan. Saya perlukan sokongan semua pihak demi anak saya.

“Kami harap pelakunya mendapat hukuman sewajarnya. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya selepas selesai pengebumian Irene Sofiya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad di Batu Pahat mala mini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya yang lebih mesra dipanggil Fiya hanya diterima sekitar jam 6 petang semalam ketika beliau sedang bekerja di Bangi.

Katanya, kakaknya, Siti Nur Faeza, 45, menghubunginya sebelum memaklumkan Fiya ditemukan dalam keadaan parah dan kemudian disahkan meninggal dunia.

“Saya ketika itu sedang bekerja di Bangi sebelum terus bergegas pulang ke kampung untuk mengetahui apa yang berlaku dan mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Mohd Khairool Faisal berkata, pertemuan terakhirnya dengan Fiya berlaku kira-kira dua minggu lalu dan pada ketika itu anaknya kelihatan seperti biasa, malah ceria serta begitu bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.

“Fiya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah, Fiya kelihatan ceria dan seronok belajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan kepada keluarganya sejak berita mengenai kejadian berkenaan tersebar.

Katanya, segala urusan berkaitan anaknya dipermudahkan dari awal hingga selesai pengebumian, selain berterima kasih kepada mereka yang meluangkan masa untuk bersama keluarganya dalam saat sukar itu.

“Alhamdulillah, daripada awal hingga akhir, urusan Fiya sangat mudah. Saya bersyukur kepada semua yang datang sejak semalam.

“Kami tidak mampu membalas budi baik mereka semua,” katanya.

Media hari ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Allahyarham Irene Sofiya telah direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam tadi di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here