SEORANG bekas pekerja kilang didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini selepas mengaku bersalah mencekik leher rakan sekerjanya, Julai lalu.
Majistret Chia Huey Ting turut memerintahkan tertuduh, Siti Fadzhlina Bazheer Ahamed, 42, dipenjarakan selama 14 hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Fadzhlina didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 30 tahun dengan cara mencekik lehernya di Kilang Abbott Medical Device Sdn Bhd, Plot 102, Kampung Jawa, Bayan Lepas, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 26 Julai lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam Yiew De Xian daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak mencekik leher pengadu kerana tidak berpuas hati selepas pengadu bermain telefon bimbit sehingga menyebabkan barang lambat sampai kepadanya ketika sedang bekerja.
Susulan kejadian itu, pengadu membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh.
Dalam prosiding sama, Yiew memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan memaklumkan tertuduh yang masih bujang perlu menanggung ibunya selain sudah kehilangan pekerjaan susulan kejadian berkenaan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Chia Huey Ting menasihati tertuduh supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan sebaliknya memaklumkan kepada penyelia sekiranya berdepan masalah di tempat kerja.
“Nasib baik kamu cekik dia tak mati. Kalau dia mati, apa yang kamu dapat? Kalau dia mati, kamu kena pertuduhan membunuh.
“Kamu sepatutnya beritahu supervisor (penyelia),” katanya.
Tertuduh kemudian menyatakan sudah insaf dan menyesali perbuatannya sebelum membayar denda yang dikenakan, lapor Harian Metro.





