SEORANG penganggur yang sedang menjalani perintah sekatan buang daerah (PCO) dan didakwa menjadi orang suruhan ceti haram dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas gagal membayar denda RM7,000 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaannya.
Tertuduh, Choong Hong Leng, 48, dikenakan hukuman penjara berkenaan selepas gagal menjelaskan denda yang diputuskan Majistret Mustaqim Sukarno.
Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah selepas didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang bukan milik kenderaan dipandunya di sebuah rumah di Taman Koperasi, di sini, kira-kira jam 9.40 malam, 14 Mei lalu.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh disyaki terbabit dalam beberapa kes ugutan serta khianat dengan membaling bom petrol (Molotov cocktail) menggunakan kenderaan yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Sebaik menerima maklumat, polis pergi ke rumah tertuduh dan semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran di bahagian hadapan kenderaannya didaftarkan kepada sebuah kereta jenis Toyota Corolla.
Siasatan polis turut mendapati tertuduh menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan selepas melakukan kerja yang diarahkan oleh ceti haram.
Selepas prosiding selesai, tertuduh dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Selangor bagi membantu siasatan berhubung kes membaling bom petrol ke atas sebuah rumah yang dipercayai milik peminjam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





