‘’Biar polis lakukan siasatan, saya tak dapat tentukan’’ – Khaled ulas kes pegawai tentera mabuk

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pegawai tentera yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk, di Lebuh Raya MEX, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal berhubung insiden tersebut dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

Beliau menegaskan pendirian kementerian bahawa siasatan bebas perlu dijalankan tanpa mengira status atau latar belakang pelaku.

“Yalah, (biar) polis lakukan siasatan. Saya tak dapat nak menentukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di diPusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC, Kuala Lumpur.

Pegawai tentera tersebut ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga merempuh sebuah kenderaan e-panggilan, mengakibatkan seorang penumpang maut di lebuh raya berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Isa, berkata polis menerima laporan pada 5.38 pagi mengenai kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dan Ford Fiesta.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pegawai tentera berusia 31 tahun itu memandu Fiesta masuk laluan bertentangan dan bertembung sebuah Alza yang dipandu pemandu e-panggilan berusia 41 tahun.

Mohamed Khaled berkata, walaupun kes berkenaan membabitkan anggota dari pasukan keselamatan negara, beliau mahu insiden itu disiasat dengan telus oleh pihak polis.

“Walaupun itu tentera, tapi biarlah polis lakukan siasatan,” katanya.

Mengulas Selat Melaka, beliau berkata, tiada keperluan bagi mana-mana kuasa luar untuk mengambil alih kawalan di selat itu kerana laluan perairan strategik itu kekal aman dan mampu diuruskan oleh negara serantau.

Kata beliau, sebarang cadangan berkaitan Selat Melaka perlu diputuskan secara bersama oleh negara berkepentingan di rantau ini.

“Sebarang perkara berkaitan Selat Melaka mesti diputuskan secara bersama oleh negara yang berada di kawasan ini, iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand.

“Selat Melaka berada dalam keadaan aman, tiada halangan kepada kapal untuk lalu lalang dan tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau besar menyatakan hasrat untuk mengawal,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img