Bilal masjid dikhuatiri lemas ketika cuba menyeberang Sungai Pahang

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap di Temerloh pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Samsul Azmi Ishury, 41, seorang bilal masjid.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan utiliti Triton dan sebuah bot aluminium dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.02 pagi dan menjalankan operasi pencarian bersama polis.

“Berdasarkan maklumat awal saksi, mangsa dipercayai berenang untuk menyeberangi sungai sebelum dihanyutkan arus dan dikhuatiri lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin turut digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi pencarian masih dijalankan dan setakat ini mangsa belum ditemukan,” katanya.

Sementara itu kakak mangsa, Normarzita Ishury, 42, berkata, dia dan keluarga dikejutkan dengan panggilan telefon jam 6.50 pagi memaklumkan adiknya itu dilihat di tebing sungai.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mereka menemukan motosikal serta barangan peribadi adiknya berhampiran tebing sungai.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya Ahad lalu apabila dia datang ke rumah mengambil lauk selepas menghadiri kenduri keluarga,” katanya ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Normarzita berkata, Samsul Azmi adalah anak kedua daripada empat beradik dan tinggal bersama ibu mereka di Kampung Lipat Kajang.

Adiknya yang belum berkahwin bertugas sebagai bilal dan mereka sekeluarga tinggal berdekatan antara satu sama lain.

Menurutnya, adiknya itu seorang pendiam dan tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum kejadian, namun dilihat lebih banyak berdiam diri dan tidak banyak bercakap seperti kebiasaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img