Cabaran sediakan pekerjaan sepadan dan berbaloi untuk graduan

SEJAK tahun 2019 hingga kini, saya meraikan konvokesyen anak-anak saya di Malaysia dan di luar negara setelah mereka tamat belajar dalam bidang masing-masing.

Daripada lima orang anak saya, empat daripadanya mengikuti pengajian yang bersifat sains dan teknikal (doktor veterinar,penerbitan media, sains computer dan fesyen pakaian/kecantikan). Hanya yang paling sulong graduan dalam bidang perakaunan daripada University Of South Australia (UniSA).

Semuanya telah bekerja dan dua orang pula bekerja di Australia sejak tahun 2019 sebagai usaha saya untuk mereka memperolehi pengalaman luas merentasi sempadan dunia. Ada yang ditawarkan kerja sebelum mereka tamat pengajian.

Penulis meraikan konvokesyen salah seorang anak lelaki penulis yqng menamatkan pengajian dalam sains komputer (programing).

SEJAK  kebelakangan ini, kerap dibincangkan dan menjadi polemik isu kesepadanan dan peluang pekerjaan di Malaysia terutama yang melibatkan graduan baru. Antara yang hangat dibincangkan sekarang ialah kesepadanan jawatan ditawarkan dengan latarbelakang sebenar kelayakan mereka, jumlah peluang pekerjaan serta gaji yang tidak berbaloi.

Di pihak majikan pula, mereka mengadu kesukaran untuk mendapatkan pekerja dalam kalangan graduan yang bertepatan dengan kemahiran dan kemahuan mereka untuk bekerja.

Data jabatan perangkaan negara melaporkan bahawa kadar pengangguran di Malaysia kekal rendah iaitu 2.9 peratus pada November 2026. Jabatan itu melaporkan bahawa purata graduan yang berumur 24 tahun mendapat gaji bawah RM2,031 sebulan, walaupun penanda aras gaji di GLC dan GILC adalah RM3,100.

Selain berusaha menyediakan peluang pekerjaan, kerajaan telah memperkenalkan gaji minima pada tahun 2013 yang bermula RM 900 sebulan di Semenanjung Malaysia, hinggalah kepada RM1,700 sebulan seperti sekarang.

Dalam bajet 2027, kerajaan mencadangkan gaji minimum RM2,000 sebulan. Manakala pekerja separa mahir, ditawarkan gaji RM2,500 sebulan pada Jun 2027. Namun ini masih belum melepasi Gaji Kehidupan Wajar (living wage) yang ditetapkan iaitu RM3,100.

Namun begitu, banyak persoalan pekerjaan ini timbul seperti ketidakseimbangan antara kenaikan gaji dan kenaikan produktiviti yang dilihat sesetengah pihak tidak menepati dengan kenaikan kos gaji yang perlu ditanggung majikan.

Bank Dunia dalam laporannya pada April 2026 yang bertajuk Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda mencadangkan agar Malaysia menggabungkan peningkatan produktiviti firma (“menaikkan siling”) dengan pertumbuhan gaji yang lebih inklusif (“menaikkan lantai”) demi mencapai kemakmuran bersama

Ada pihak yang berpendapat, isu gaji minima bukanlah bersifat paksaan oleh majikan tetapi sebaliknya boleh ditentukan oleh persekitaran ekonomi dan pendapatan syarikat. Dalam erti kata lain, jika suasana perniagaannya sangat baik, tiada masalah untuk seseorang graduan menerima bayaran yang tinggi.

Keupayaan bakat pekerja dilihat menjadi penentu kepada pencapaian ekonomi negara. Walau bagaimanapun, jika ilmu dan kemahiran yang diperlukan tidak menepati kehendak permintaan, kesannya terhadap pencapaian ekonomi sangat terkait-rapat.

Keresahan perkara ini dilihat bermula di peringkat pendidikan, seawal sistem persekolahan pra-sekolah lagi. Gambaran kejayaan kita melahirkan graduan setiap tahun iaitu sekitar 300,000 dengan graduan TVET sahaja mencecah 60,000 orang setahun,  dilihat tidak semestinya menggambarkan angka yang mampu memenuhi permintaan dan keperluan tenaga kerja.

Kesepadanan dan keseimbangan tenaga kerja ini bukanlah mudah dan boleh diselesaikan sekelip mata. Antara buku yang tepat membincangkan hal ini ialah ‘The Race Between Education and Technology’, tulisan dan hasil kajian Claudia Goldin dan Lawrence Katz.

Antara initipatinya ialah ketidaksamaan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi ditentukan oleh perlumbaan antara bekalan pekerja berpendidikan dengan permintaan terhadap kemahiran akibat perubahan teknologi. Apabila kemajuan pendidikan bergerak lebih pantas daripada kemajuan teknologi, jurang pendapatan mengecil, dan apabila pendidikan perlahan, jurang pendapatan melebar.

Saya amat menggemari buku yang diterbitkan oleh Richard D. Crawford pada tahun 1991 yang bertajuk ‘Era of Human Capital: The Emergence of Talent, Intelligence, and Knowledge as the Worldwide Economic Force and What It Means to Managers and Investors’.

Perkara pokok yang telah dibincangkan oleh Crawford ialah faktor-faktor tradisional seperti kapasiti industri, modal kewangan, dan teknologi fizikal tidak lagi menjadi penggerak utama ekonomi moden; sebaliknya, ia telah digantikan oleh modal insan—khususnya bakat, kecerdasan, dan pengetahuan.

Ketika tahun-tahun itulah dunia merancang dan menyediakan tenaga kerja dalam Teknologi Maklumat (IT) masa depan yang saya sendiri menerima pendidikannya serta bekerja secara konsisten dalam arus peredaran masa dunia IT hingga kini.

Pengkaji-pengkaji di sektor ekonomi melihat secara lebih realistik (bukan akademik) dengan merumuskan bahawa reformasi serentak perlu dilakukan di antara pendidikan dan ekonomi. Pendidikan memerlukan perubahan yang bersifat lebih responsif terhadap kemahiran yang bertepatan, kemahiran secara ‘hands on’, program yang fleksibal dan keberhasilan yang lebih baik. Manakala dalam sektor ekonomi pula ialah menyediakan bayaran dan imbuhan gaji kepada mereka yang berkemahiran tinggi dengan kadar bayaran yang tinggi juga.

Sebagai penggiat dalam pembangunan modal insan khususnya TVET, saya nampak ketidak-seimbangan, isu kesepadanan pekerjaan dan berbaloi atau tidak gaji yang diterima oleh graduan masa kini.

Pada saya, kelemahan dalam meramal masa depan berkaitan trend pekerjaan yang sebenar, mengisi dan melaksanakan dasar pendidikan ke arah ekonomi masa depan kelihatan semakin lemah di Malaysia, walaupun dicanangkan dengan slogan dan gagasan enak serta penasihat-penasihat yang digambarkan semakin ramai di keliling pemimpin negara.

Kami yang berada di lapangan masih tercari-cari siapakah penasihat-penasihat mereka ini dan apakah nasihat mereka dapat mengatasi masalah dan polemik yang semakin melebar dan  melanda negara?

Akibat tersalah dengar nasihat, maka terjadilah kerja ‘syok sendiri’ yang akan merugikan negara. Contoh paling nyata ialah isu EV, semikonduktor yang seolah-olah mendominasi peluang pekerjaan tetapi hakikatnya, berapalah sangat peluang kerja dan imbuhannya sehingga banyak bidang lain yang berpotensi menyediakan banyak peluang pekerjaan gagal dilaksanakan, seterusnya merugikan potensi sumber ekonomi secara keseluruhan di Malaysia.

*Penulis adalah usahawan dan aktivisi sosioekonomi



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here