POLIS sedang mengenal pasti dan mengesan suspek yang disyaki menikam seorang pekerja Pasar Borong Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam, berkata mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu.
“Mangsa yang cedera di belakang badan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Selayang.
“Mangsa tidak mengenali suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.





