DBKL tingkat usaha tangani kenderaan tersadai di KL

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mempergiat usaha menangani masalah kenderaan buruk dan tersadai di sekitar ibu kota melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program pelupusan secara sukarela.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, langkah itu diambil susulan aduan berterusan penduduk yang berdepan masalah sama di kawasan perumahan awam mahupun taman perumahan.

“Dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kenderaan buruk/ tersadai, DBKL telah melantik Tetuan Car Medic Sdn. Bhd. sebagai penyedia perkhidmatan tersebut. 

“Skop perkhidmatan merangkumi kerja-kerja tunda dan angkut di kawasan awam, penyediaan logistik serta stor simpanan, pelupusan secara lestari, selain pelaksanaan program pelupusan secara sukarela di kawasan perumahan awam DBKL dan strata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis peluncuran dan sesi sidang media program pelupusan kenderaan buruk/tersadai secara sukarela di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), Pantai Ria Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Tambah Fadlun, melalui program ini, pemilik kenderaan ditawarkan untuk melupuskan kenderaan secara sah melalui proses pembatalan pendaftaran menggunakan sistem eDereg dengan pengesahan dalam tempoh singkat. 

“Sebagai galakan, ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 disediakan mengikut jenis dan keadaan kenderaan yang dilupuskan.

“Bagi tempoh tiga bulan pertama, program akan memberi tumpuan kepada kawasan perumahan awam DBKL, yang merekodkan sebanyak 1,159 kenderaan buruk atau tersadai sehingga 30 Mac,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBKL menyeru kerjasama semua pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan kenderaan tersadai di tempat awam. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, isu berkenaan telah lama dibangkitkan oleh ahli Parlimen di Kuala Lumpur dan memerlukan tindakan segera.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan DBKL itu merupakan antara pembaharuan penting bagi mengatasi masalah harian penduduk.

“Masalah ini dihadapi hampir semua kawasan, tidak kira perumahan awam atau teres. Ini adalah antara usaha segera oleh Datuk Bandar untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“Buat masa ini program ini dilaksanakan secara sukarela dan saya berharap lebih ramai penduduk tampil untuk mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran di Kuala Lumpur, pendekatan berperingkat akan terus diambil bagi memastikan setiap isu dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Saya gembira melihat usaha ini dipertingkatkan di peringkat DBKL kerana masalah setempat seperti ini perlu diberi perhatian selain pembaharuan dalam aspek tadbir urus,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img