KENDERAAN tersadai di kawasan perumahan bukan sahaja mencetuskan masalah parkir, malah kini menjadi ancaman kesihatan apabila ada yang dijadikan ‘stor’ dan tempat pembiakan perosak.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, situasi itu semakin membimbangkan khususnya di kawasan padat penduduk seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan strata.
Menurutnya, pemerhatian bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini mendapati terdapat sehingga 100 hingga 150 kenderaan tersadai di satu-satu lokasi.
“Setengah daripada kereta tersadai ini dah berubah menjadi stor (tempat simpanan barang) dan ada isu-isu lain termasuk aspek kesihatan sama ada tikus, nyamuk dan sebagainya kita mula nampak ada peningkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran program pelupusan kenderaan buruk dan tersadai secara sukarela di kawasan Pantai Ria, Lembah Pantai.
Fahmi berkata, pelaksanaan program dengan kerjasama pihak seperti Car Medic dijangka dapat mempercepatkan proses pelupusan, khususnya bagi kes sukarela.
Namun, beliau mengakui cabaran utama adalah melibatkan kenderaan yang perlu diambil tindakan undang-undang, terutama di kawasan strata yang berstatus milik persendirian.
“Apabila parkir tidak mencukupi, kenderaan akan diletakkan secara double parking dan akhirnya menyebabkan kesesakan.
“Dengan mengurangkan kenderaan tersadai, kita harap tekanan parkir dapat dikurangkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa cadangan lain turut diteliti termasuk laluan alternatif, namun berdepan kekangan teknikal.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha DBKL memperkenalkan program pelupusan secara sukarela dengan kerjasama pihak swasta bagi mempercepatkan proses pelupusan kenderaan usang.
Katanya, langkah itu diharap dapat mengurangkan jumlah kenderaan tersadai secara berperingkat sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar.


