Sindiket penipuan sasar warga India tumpas, 53 individu ditahan

KEGIATAN sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai polis India terbongkar selepas polis menyerbu sebuah pusat panggilan di Bandar Putra, Kulim pada Jumaat lalu dan menahan 53 individu dalam dua operasi berasingan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, operasi pertama yang dijalankan kira-kira jam 8 malam membawa kepada penahanan 48 individu berusia antara 20 hingga 43 tahun, terdiri daripada tujuh lelaki warga Malaysia, 28 lelaki dan lima wanita warga Pakistan serta enam lelaki dan dua wanita warga India.

Menurutnya, sindiket yang dipercayai aktif sejak akhir Ogos lalu itu menyasarkan mangsa di India dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai penguat kuasa bagi menakut-nakutkan mangsa, kononnya mereka terbabit dalam kesalahan undang-undang.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 73 individu dipercayai menjadi mangsa sindiket berkenaan, dengan jumlah kerugian hampir RM1.4 juta atau 33 juta Rupee India,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini, lapor BH.

Menurut Adzli, bagi menjalankan kegiatan itu, sindiket dipercayai menggunakan skrip tertentu untuk meyakinkan mangsa bahawa nombor telefon yang digunakan atau didaftarkan atas nama mereka mempunyai kaitan dengan kesalahan undang-undang di India.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diperdaya supaya memindahkan wang daripada akaun bank masing-masing ke akaun yang diberikan suspek, kononnya bagi membantu siasatan polis.

Katanya lagi, siasatan turut mendapati kumpulan itu menggunakan aplikasi Telegram sebagai saluran komunikasi dan untuk menyelaras operasi mereka.

Dalam serbuan berkenaan, Adzli berkata, polis merampas 89 telefon bimbit, tujuh komputer riba, sebuah modem, tiga penghala (router), empat monitor serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan.

Tambahnya lagi, antara barangan lain yang dirampas adalah skrip penipuan berbahasa Inggeris, tiga helai pakaian seragam polis India, dua topi seragam, dua bendera India, satu bendera Biro Siasatan Pusat (CBI) India serta dua papan kayu berlogo polis negara itu.

Mengulas mengenai individu yang ditahan, Adzli berkata, hasil soal siasat mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai memohon pekerjaan sebagai operator pemasaran telefon selepas melihat iklan kekosongan jawatan di media sosial.

“Mereka kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dan dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM3,500,” katanya.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk memasuki Malaysia.

Kesemua 48 individu berkenaan direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 Oktober bagi membantu siasatan, katanya.

Dalam operasi susulan semalam, Adzli memberitahu, polis turut menahan lima warga tempatan, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 44 hingga 51 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan premis berkenaan.

Beliau berkata, mereka dipercayai terdiri daripada pemilik premis rumah kedai, dua ejen hartanah dan penyewa premis yang digunakan sebagai pusat operasi sindiket.

Kelima-lima mereka ditahan di sekitar Bandar Kulim, Kedah dan Tanjung Piandang, Perak. Semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here