Dua beradik diselamatkan, abang didakwa dipukul bapa

DUA beradik diselamatkan selepas seorang daripada mereka didakwa dipukul bapa kandung dalam kejadian di sebuah rumah di Putrajaya, baru-baru ini.

Mangsa membabitkan remaja lelaki berusia 15 tahun dan adik perempuannya berusia 13 tahun yang kemudian dibawa ke hospital oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum satu laporan polis dibuat oleh pegawai perubatan.

Difahamkan, remaja perempuan itu membuat aduan menerusi Talian Kasih dengan mendakwa abangnya dipukul menggunakan tali pinggang serta diacukan pisau oleh bapa mereka, malah sempat merakam video kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, polis sudah memanggil bapa kepada kedua-dua remaja terbabit bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan, namun lelaki berusia 54 tahun itu tidak ditahan.

“Bapa remaja itu dipanggil untuk diambil percakapan pada 2 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati tiada kesan kecederaan pada remaja terbabit,” katanya.

Menurut Aidi Sham, siasatan awal mendapati kejadian itu bukan membabitkan kes penderaan, sebaliknya berlaku susulan pertanyaan bapa terhadap anaknya berhubung dakwaan mencuri telefon bimbit milik seorang rakan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img