DUA pekerja kilang melecur selepas kompresor mesin pemotong kayu meletup hingga menyebabkan kebakaran di sebuah premis di Kampung Kuala Biah, Keningau, hari ini.
Kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, sepasukan 13 anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 3.18 petang.
“Setibanya pasukan, didapati kebakaran melibatkan kompresor mesin pemotong kayu dan merebak hingga sebuah kenderaan musnah 100 peratus.
“Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula dari dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua pekerja melecur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nidzam berkata, seorang mangsa warga tempatan melecur di bahagian belakang badan, manakala seorang pekerja warga asing melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh anggota badan.
Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Operasi pemadaman dijalankan segera dan api berjaya dikawal pada jam 3.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.40 petang.






