DUA rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Baru Telok Gong, awal bulan ini.
Muhd Asnawi Ghazali, 37, dan Musa Ramli, 25, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas dikenali sebagai Kutek didakwa membunuh Suherman, 47, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Telok Gong, kira-kira jam 6.30 pagi, 6 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, lapor BH.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.





