
CALON Pakatan Harapan DUN Jeram Padang G Manivannan cabar penyandang Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berdebat di hadapan penduduk bagi membolehkan pengundi menilai rekod dan tawaran mereka.
Manivannan mendakwa, Zaidy tidak aktif di kawasan itu selama tiga tahun sebagai Adun sebelum kembali menjelang pilihan raya, selain mengaitkan pelbagai kejayaan kerajaan persekutuan sebagai pencapaian peribadi.
“Saya tiada masalah dengan rakan-rakan dalam BN atau MIC, tetapi sepanjang saya turun padang menyantuni masyarakat, banyak komen diterima mengenai perkhidmatan Zaidy.
“Saya difahamkan beliau hilang selama tiga tahun, kemudian muncul ketika pilihan raya dan mendakwa kejayaan kerajaan persekutuan sebagai kejayaan beliau. Saya rasa perkara itu mengaibkan pengundi Jeram Padang,” katanya ketika berkempen di Bahau lapor FMT.
Beliau berkata, cabaran itu bukan bermotifkan politik kepartian, sebaliknya bagi memberi peluang kepada rakyat menilai prestasi serta tawaran kedua-dua calon secara terbuka.
“Saya mahu memperbetulkan apa yang dipaparkan di Facebook beliau. Biar penduduk sendiri menilai apa yang benar dan membandingkan apa yang saya tawarkan dengan apa yang beliau tawarkan,” katanya.
Manivannan turut mendakwa sehingga kini belum melihat manifesto atau inisiatif jelas dibawa Zaidy.
“Retorik dan drama politik harus dihentikan. Biar beliau bentangkan inisiatifnya, saya bentangkan inisiatif saya, kemudian rakyat buat perbandingan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran debat itu boleh diserahkan kepada mana-mana organisasi media bagi memastikan ia berlangsung secara langsung dan profesional jika Zaidy menerima cabaran tersebut. Bagaimanapuun Zaidy belum memberi komen.
Kerusi DUN Jeram Padang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Manivannan, Zaidy, R Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal (Parti Orang Asli Malaysia).
Pada PRN lalu Zaidy menang kerusi itu dengan majoriti 693 undi.






