Proses perpindahan 121 warga Rohingya dilakukan secara sukarela

PROSES perpindahan 121 warga Rohingya dari penempatan sementara di bekas tapak tsunami Penaga, Kuala Muda, Kepala Batas  dilakukan secara sukarela susulan persaingan ekonomi dan pertambahan penghuni di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya dimaklumkan kumpulan itu, yang bergerak dari penempatan sementara semalam, tiba di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur pagi tadi.

“Proses perpindahan ini dilakukan secara sukarela oleh warga Rohingya sendiri yang dibantu dan diselaraskan oleh jabatan Persekutuan, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara, wakil penduduk tempatan dan wakil warga Rohingya.

“Sepanjang proses itu, polis turut memantau dan menyelaras bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak mensensasikan isu itu sehingga boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Anuar berkata sebarang pertanyaan berkaitan isu itu boleh diajukan kepada Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara DSP Fakhruz Zaman Husin di talian 04-576 2222.

Terdahulu, ratusan pelarian Rohingya dilaporkan berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur selepas tiba di ibu negara awal pagi tadi menaiki tiga bas dari Pulau Pinang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai perkara itu berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img