Enam koperasi sumbang RM20,800 jayakan gazebo lestari di FRIM

USAHA memperkukuh kelestarian alam sekitar menerima sokongan Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan menerusi sumbangan RM20,800 bagi penyediaan sebuah gazebo lestari untuk kegunaan pengunjung di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Sumbangan itu dihimpunkan menerusi penglibatan enam koperasi tempatan dan diserahkan sempena program Fit & Green: CSR Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan 2026 yang berlangsung di Taman Botani Kepong hari ini.

Enam koperasi terbabit adalah Koperasi Jayadiri Berhad (KOJADI), Koperasi Generasi Felda Baru Berhad (KGF), Koperasi Kakitangan Felda (FELCOP), Koperasi Kakitangan BIMB Berhad (KOBIMBING), Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat).

FADILAH Salim

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Fadilah Salim berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan gerakan koperasi terhadap kepentingan masyarakat dan alam sekitar.

“Pengumpulan dana sebanyak RM20,800 oleh enam buah koperasi ini bukanlah satu jumlah yang sedikit. Ia merupakan satu usaha yang sangat murni apabila hasil titik peluh gerakan koperasi disumbangkan kembali untuk manfaat awam dan kelestarian kawasan rekreasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Ismail Parlan yang juga Penasihat Koperasi FRIM Berhad (KOFRIM).

Fadilah berkata, usaha berkenaan amat bermakna memandangkan FRIM kini menjadi antara lokasi tumpuan orang ramai selain mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan UNESCO.

Menurutnya, kemudahan gazebo itu bukan sahaja menyediakan ruang untuk pengunjung berteduh dan berehat selepas melakukan aktiviti riadah seperti brisk walk, malah menjadi lambang kerjasama antara gerakan koperasi dengan agensi yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Program Fit & Green 2026 turut diserikan dengan pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan dan kemasyarakatan, antaranya senamrobik, brisk walk serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Pemeriksaan kesihatan berkenaan disediakan Farmasi Al-Ariff dengan kerjasama Koperasi Generasi Felda Baru Berhad (KGF).

Program itu turut mendapat penyertaan kira-kira 60 sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja SKM dan FRIM, kepimpinan Majlis Perundingan Koperasi Negeri Wilayah Persekutuan (MPKN WP), pimpinan Angkasa serta anggota koperasi tempatan.

Inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here