PENGANJUR RXZ Members diarah menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan mewajibkan beberapa syarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.
Perkara itu dicapai susulan Sesi Libat Urus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama penganjur RXZ Members yang dipengerusikan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan di Bahagian Penguat Kuasa, ibu pejabat JPJ di Putrajaya semalam.

Muhammad Kifli berkata, perkara yang diwajibkan dalam platform berkenaan adalah peserta mesti mempunyai lesen memandu yang sah selain motosikal mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans yang masih berkuat kuasa.
Menurutnya, peserta juga perlu melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan iaitu gambar bahagian depan dan belakang nombor pendaftaran kenderaan dan gambar sisi kiri serta kanan motosikal.
“Selain itu, antara perkara yang diberi penekanan oleh JPJ adalah keperluan melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara.
“Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan, pelaksanaan penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
“Peserta juga diminta dapat bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, JPJ turut mengesyorkan pendekatan berperingkat melalui libat urus awal, pendidikan dan kesedaran, disusuli tindakan penguatkuasaan tegas apabila perlu.
“Kerjasama erat antara penganjur, JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi teknikal berkaitan juga penting bagi memastikan penganjuran acara berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Muhammad Kifli berkata, sesi itu menjadi platform strategik bagi membincangkan aspek keselamatan jalan raya serta langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko, khususnya bagi penganjuran acara permotoran berskala besar.
Katanya, JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.
“Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan. JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penganjur pada masa akan datang,” katanya.





