SEBUAH syarikat perkhidmatan pembersihan yang menawarkan pekerjaan secara tidak sah kepada warga asing tumpas dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi bersepadu di sekitar ibu negara hari ini.
Serbuan diadakan di beberapa lokasi yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan rumah yang berdaftar di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan khidmat pekerja asing warga Indonesia.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 31 warga Indonesia terdiri daripada 27 wanita dan empat lelaki bekerja sebagai pekerja pembersihan dan pengangkut telah ditahan.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, kesemua pekerja berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada dan bekerja di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama JIM Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan (NFCC), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati syarikat itu dipercayai menggaji pekerja asing serta mengambil dan menyimpan pasport milik pekerja terbabit.
Katanya, pekerja dipercayai menerima gaji minimum di bawah RM1,500 dan berdepan pemotongan gaji tanpa alasan munasabah, dikenakan denda serta penalti tanpa persetujuan, diarahkan bekerja lebih masa selain pergerakan mereka dikawal oleh pihak syarikat.
“Maklumat yang diperoleh turut mendapati syarikat berkenaan mempunyai rekod pekerja yang melarikan diri kerana tidak tahan dengan eksploitasi yang dipercayai dikenakan terhadap mereka.
“Pasukan operasi turut menahan tiga warga Malaysia iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang juga pemilik syarikat berkenaan,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya menyita 20 pasport, wang tunai RM9,400 serta beberapa set komputer dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti syarikat dan kini diteliti bagi membantu siasatan.
“Modus operandi syarikat berkenaan dipercayai membabitkan pengambilan dan perekrutan warga asing dari Indonesia dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pekerja pembersihan serta menjanjikan kos berkaitan pengambilan dan perbelanjaan tertentu akan ditanggung oleh pihak syarikat,” katanya.
Beliau berkata, hasil risikan dan siasatan kewangan dijalankan pihaknya mendapati beberapa akaun pemilik syarikat yang disyaki dikenal pasti menjalankan aktiviti haram.
“Sejumlah akaun milik individu dan syarikat sudah dibekukan mengikut Seksyen 4(1) Kesalahan Penggubahan Wang Haram Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
“Selain itu, beberapa kesalahan lain turut dikesan dan tindakan sudah diambil oleh agensi berkaitan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Semua individu yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya.




