JKDM Selangor rampas 83 kontena barangan seludup bernilai RM114 juta

SEBANYAK 83 kontena mengandungi pelbagai barangan seludup termasuk rokok, minuman keras, tembakau, barangan elektrik serta sisa plastik dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dalam tiga operasi berasingan.

Keseluruhan rampasan itu membabitkan nilai komoditi RM19.93 juta, manakala duti dan cukai berjumlah RM94.42 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM114.35 juta.

Pengarah JKDM Selangor, Noraidah Ishak berkata, rampasan berkenaan dilakukan menerusi Operasi Renjat 2026, Operasi Sentinel Siri 1/2026 dan Operasi Demeter XII antara April hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah 135 juta batang rokok putih, 14,488.54 liter minuman keras, 5,672 kilogram tembakau, 29,797 unit barangan elektrik, 3,831 unit dapur gas, 394,747 kilogram besi buruk dan 558,994.50 kilogram sisa plastik.

Katanya, kes pertama menerusi Operasi Renjat 2026 dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) membabitkan pemeriksaan 30 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 April hingga 15 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan menemukan 29,797 unit barangan elektrik dan 3,831 unit dapur gas yang dipercayai diimport tanpa Perakuan Kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga.

“Nilai rampasan dianggarkan RM2.61 juta, manakala duti dan cukai sebanyak RM812,426, menjadikan jumlah keseluruhan RM3.42 juta,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang hari ini.

Noraidah berkata, siasatan mendapati dua modus operandi digunakan dalam kes berkenaan iaitu mengikrarkan jenis dagangan dengan betul tetapi gagal mengemukakan Perakuan Kelulusan serta membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam No. 1.

Bagi kes kedua menerusi Operasi Sentinel Siri 1/2026, JKDM Selangor menyerbu dua premis perniagaan di sekitar Lembah Klang selain memeriksa 15 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan menemukan 135 juta batang rokok putih, 14,488.54 liter minuman keras dan 5,672 kilogram tembakau dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai sebanyak RM105.31 juta.

“Modus operandi kes itu termasuk tidak mengikrarkan dagangan dalam manifes bagi kontena berstatus pemindahan serta membuat pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan barangan sebagai perabot dan pakaian bagi mengelak dikesan JKDM,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga menerusi Operasi Demeter XII membabitkan pemeriksaan 38 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 hingga 31 Julai lalu.

Pemeriksaan menemukan 394,747 kilogram besi buruk dan 558,994.50 kilogram sisa plastik yang dipercayai diimport tanpa permit dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai RM5.62 juta.

“Modus operandi digunakan adalah membuat pengimportan tidak benar dalam Borang Kastam No. 1 dengan mengisytiharkan dagangan sebagai enjin terpakai dan alat ganti, kepingan tembaga, aloi aluminium, kepingan ABS, plastik PS dan bahan PE bagi mengelak dikesan pihak JKDM.

“Ketiga-tiga kes terbabit masih dalam siasatan mengikut peruntukan Akta Kastam 1967,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here