SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) autistik dan lembam diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri selepas gagal memahami pertuduhan menyebabkan kematian ibunya di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini.
Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin mengeluarkan perintah berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah bagi membolehkan remaja itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Keputusan itu dibuat selepas tertuduh dilihat tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor BH.
Ketika prosiding, Azlin Zeti bertanya sama ada tertuduh memahami pertuduhan terhadapnya sebelum mengemukakan beberapa soalan asas termasuk sama ada dia sudah bersarapan, makanan yang dimakan serta siapa yang menemaninya ke mahkamah.
Bagaimanapun, sebahagian soalan berkenaan gagal dijawab oleh tertuduh menyebabkan pengakuannya tidak direkodkan.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ibunya, Nor Ainon Omar, 49, di sebuah rumah di Kampung Cheh, Kati, Kuala Kangsar pada kira-kira jam 2.10 petang, 23 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Mirza turut memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan baharu dalam tempoh sebulan bagi menunggu laporan psikiatri tertuduh.
Menurutnya, permohonan itu mengambil kira tertuduh mempunyai rekod berkaitan psikiatri.
“Memandangkan mahkamah dimaklumkan tertuduh ada rekod mental, saya tak akan merekodkan apa-apa pengakuan. Mahkamah keluarkan perintah hantar (tertuduh) ke HBUK,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berstatus OKU lembam ditemukan meninggal dunia dengan kesan tusukan di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati minggu lalu.
Susulan kejadian itu, suami dan anak wanita berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suami mangsa yang berusia 44 tahun, yang tempoh remannya berakhir semalam, turut hadir menemani tertuduh ketika prosiding berlangsung hari ini.
Lelaki itu dibebaskan hari ini dan akan dijadikan saksi pendakwaan.





