
‘’JIKA calon komunis Zohran Mamdani menang dalam Pilihan Raya Datuk Bandar New York City, sangat tidak mungkin saya akan menyalurkan Dana Persekutuan — kecuali jumlah minimum yang diperlukan — kepada kota pertama yang saya cintai ini.
‘’Sebagai seorang komunis, bandar yang dahulunya hebat ini tiada peluang untuk berjaya, malah untuk terus bertahan pun tidak! Keadaan hanya akan menjadi lebih buruk dengan seorang komunis menerajui pentadbiran, dan saya tidak mahu, sebagai Presiden, membazirkan wang rakyat untuk sesuatu yang sudah gagal.
‘’ Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mentadbir negara ini, dan saya yakin bahawa New York City akan menjadi satu bencana ekonomi dan sosial yang lengkap sekiranya Mamdani menang. Prinsipnya telah diuji selama lebih seribu tahun — dan tidak pernah sekali pun berjaya. Saya lebih rela melihat seorang Demokrat yang mempunyai rekod kejayaan menang, daripada seorang Komunis yang tiada pengalaman serta rekod kegagalan mutlak.’’

Kata-kata Donald Trump yang tertuju kepada Mamdani akhirnya ‘memakan diri’ beliau. Keangkuhan Presiden AS dijawab oleh pengundi New York dengan memberi kemenangan bergaya kepada Mamdani untuk menjadi Datuk Bandar baharu banda raya tersebut.
Trump terlupa bawa ketika menghamburkan kata-kata melalui akaun Truth Social itu, popularitinya sedang merudum akibat sokongannya kepada Israel yang sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas Palestin di Gaza. Turut memburukkan lagi dasarnya mengusir pendatang yang mewujudkan kemarahan rakyat AS.
Sentimen kebencian Trump terhadap Mamdani sama dengan Amichai Chikli, Menteri Hal Ehwal Diaspora dan Memerangi Anti-Semitisme Israel yang menganggap Zohad mempunyai pandangan “tidak jauh berbeza” daripada mereka yang melancarkan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
“Seorang penyokong Hamas, dengan pandangan tidak jauh daripada pelampau jihad yang membunuh tiga ribu orang 25 tahun lalu,” kata Chikli dalam hantaran di X.
Avigdor Liberman, Pengerusi parti pembangkang Yisrael Beytenu,Israel turut menuduh Mamdani menyokong Hamas.
“Tiga dekad selepas tragedi Menara Berkembar, New York telah memilih seorang perkauman, populis dan Islamis Syiah secara terbuka sebagai Datuk Bandarnya,” katanya di X.
Namun kebencian Trump dan sekutu Israelnya itu gagal menghalang Mamdani untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya tersebut dan akan mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York City pada 1 Januari nanti, ahli perundangan negeri berusia 34 tahun dari Queens itu akan menjadi individu termuda memegang jawatan tersebut dalam tempoh satu abad.
Mamdani juga akan menjadi Datuk Bandar Muslim pertama serta individu pertama berketurunan Asia Selatan yang menerajui bandar itu dalam sejarah 400 tahunnya. Beliau akan menggantikan Datuk Bandar Eric Adams, yang menarik diri daripada pertandingan selepas mengalami penurunan sokongan dan terpalit dengan beberapa skandal.
Dilahirkan di Kampala, Uganda, Mamdani berpindah ke New York ketika berusia tujuh tahun. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Africana dari Bowdoin College di Maine. Sebelum menceburi politik, beliau bekerja sebagai kaunselor perumahan, membantu keluarga berpendapatan rendah mengelakkan pengusiran dari rumah mereka.
Dalam pilihan raya Dewan Perhimpunan Negeri New York 2020, beliau dipilih mewakili Daerah ke-36, kawasan Astoria di Queens.
Dengan 91 peratus undi dikira, Mamdani telah memperoleh lebih sejuta undi, berbanding kira-kira 850,000 undi untuk Cuomo. Jumlah undi Mamdani, sebanyak 1,036,051, merupakan yang tertinggi bagi mana-mana calon Datuk Bandar New York sejak tahun 1965, apabila calon Republikan John Lindsay memenangi 1,149,106 undi.
Rekod itu masih dipegang oleh Robert F. Wagner Jr., calon Demokrat yang menang dengan lebih 1.2 juta undi pada 1961 dan 1.5 juta undi pada 1957 — jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya Datuk Bandar New York.
Perolehan undi itu sudah tentulah menambahkan lagi kemarahan Trump yang sebelum ini menjangkakan Mamdani hanya akan memprolehi sekitar 40 peratus undi sahaja. Bagaimanapun Trump yang dipuji oleh pemimpin-pemimpin negara Islam sebagai tokoh pendamai perang Gaza sebenarnya menjadi ‘penyumbang kemenangan’ kepada Mamdani.
Ia terbukti apabila kaji selidik CNN menunjukkan bahawa penurunan populariti Donald Trump membantu calon Demokrat menang dalam pelbagai perlumbaan di seluruh negara. Majoriti pengundi menolak prestasi Trump di New York, California, Virginia dan New Jersey — semua negeri di mana Demokrat mencatat kemenangan besar, menurut penyelidik SSRS.
Di New York, di mana Mamdani di terpilih sebagai Datuk Bandar Muslim pertama, hanya 26 peratus pengundi memberikan pandangan positif terhadap Trump, menurut tinjauan tersebut. Pengundi di keempat-empat negeri juga menunjukkan pandangan lebih baik terhadap Parti Demokrat berbanding Republikan.
Gabenor California, Gavin Newsom, berkata kemenangan besar Parti Demokrat menunjukkan bahawa parti itu kini “sedang meningkat dan berada di kedudukan dominan.”
“Apa satu malam yang hebat untuk Parti Demokrat — sebuah parti yang kini berada di atas, bukan lagi di belakang,” katanya kepada wartawan selepas rakyat California meluluskan Proposisi 50.
“Kami di California berbangga menjadi sebahagian daripada naratif ini malam ini. Kami bangga dengan kerja rakyat negeri ini yang menghantar mesej kuat kepada seorang presiden bersejarah. Donald Trump adalah presiden bersejarah — presiden paling tidak popular dalam sejarah moden,” tambahnya.
Ketika menyampaikan ucapan kemenangan pada malam Selasa, Mamdani ditemani oleh ibu bapanya — Profesor Mahmood Mamdani, 79 tahun, dan pengarah filem terkenal Mira Nair, 68 tahun.
Mahmood, yang dilahirkan di Mumbai, India, membesar di Uganda dan kini merupakan profesor di Universiti Columbia, di samping mengekalkan hubungan akademik dengan universiti di Uganda.
Mira Nair pula ialah pembikin filem terkemuka yang terkenal dengan karya bertemakan evolusi masyarakat moden India serta perjuangan identiti diaspora Asia Selatan. Antara filem terkenalnya ialah Mississippi Masala lakonan Denzel Washington, dan karya klasik tahun 2001, Monsoon Wedding.
Mississippi Masala berlatar belakang pengusiran masyarakat Asia Selatan dari Uganda di bawah pemerintahan Idi Amin pada tahun 1972 — peristiwa yang turut menjejaskan suaminya. Monsoon Wedding pula menyentuh isu penderaan seksual kanak-kanak dalam keluarga tradisional India, satu topik yang dianggap tabu ketika itu.
Ketika menyampaikan ucapan kemenangannya Mamdani,secara langsung mencabar Presiden Donald Trump, dengan berkata: “Donald Trump, saya tahu anda sedang menonton, jadi saya ada empat perkataan untuk anda: Naikkan volume itu.”
Dalam ucapannya, beliau menggariskan agenda progresif yang memberi tumpuan kepada perlindungan penyewa, langkah membanteras rasuah, dan hak pekerja.
“Kita akan mendakwa tuan tanah yang zalim kerana golongan seperti Donald Trump di bandar ini telah terlalu lama selesa mengambil kesempatan terhadap penyewa mereka,” kata Mamdani, sambil berikrar untuk menamatkan “budaya rasuah” yang membolehkan para bilionair mengelak cukai dan menyalahgunakan pelepasan cukai.
Beliau turut berjanji untuk memperkukuh perlindungan buruh, dengan menegaskan bahawa apabila pekerja mempunyai hak yang kukuh, “majikan yang cuba menindas mereka akan menjadi sangat kecil nilainya.”
Trump belum memberi maklum balas secara langsung terhadap kenyataan Mamdani, namun semasa ucapan Mamdani itu, beliau menulis di Truth Social tanpa menyebut nama Mamdani: “…DAN DI SINILAH IA BERMULA!”
Kini Trump harus menerima hakikat bahawa kota kelahiran kini diperintah oleh individu yang beliau benci. Trump tidak boleh berpura-pura menyukai Mamdani seperti mana beliau berpura-pura membawa damai di Gaza…hakikatnya semuanya sudah dirancang bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.



