
ADALAH satu kelegaan apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berkaitan kemelut proklamasi penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Penulis menggunakan perkataan ‘kelegaan’ kerana sama ada kita mahu mengakui atau tidak, ramai yang bukan rakyat negeri itu tidak memahami apa yang berlaku walaupun ia menjadi isu nasional yang menarik perhatian ramai.
Keadaan semakin kusut apabila satu pihak kata sah, satu lagi pihak pulak kata tak sah, hari ini kata lain, esok kata lain, yang dok gelisah rakyat. Mereka tertanya-tanya bila isu tersebut akan selesai. Bagaimanapun kenyataan AGC menjelaskan segala-galanya apabila antara lain menegaskan:
*Proklamasi bertarikh 19 April 2026 mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan didapati tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
*Tiada keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan di bawah Perkara 10(1) terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
*Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
*Walaupun Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan menurunkan Yang Dipertuan Besar, mereka tetap perlu mematuhi tatacara dan asas pertimbangan yang ditetapkan Perkara 10 UUTKNS. Setakat ini tiada fakta menunjukkan tatacara tersebut telah dipatuhi.
*Kesahan beberapa Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi turut dipertikaikan, kerana ada yang didakwa telah diturunkan daripada jawatan mengikut adat di luak masing-masing.
Jika keadaan itu benar, komposisi Undang Yang Empat dianggap tidak lengkap ketika Proklamasi dibuat.
*AGC mengakui bahawa pelantikan dan penurunan Dato’-Dato’ Undang tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing. Perkara 16 UUTKNS 1959 memperuntukkan bahawa persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Undang, berada dalam bidang kuasa Dewan Undangan dan Keadilan.
Di bawah Perkara 16(3), nasihat Dewan mengenai persoalan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah.
*Pewartaan atau apa-apa tindakan untuk melaksanakan Proklamasi itu juga dianggap tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Kalau diteliti kenyataan AGC tersebut, ia ditujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam kemelut berkenaan. Oleh itu mereka harus bertenang dan mendengar nasihat AGC agar menghormati prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban, selain terdapat injunksi interlokutori yang masih berkuat kuasa.
Injunksi interlokutori bermaksud perintah sementara mahkamah yang berkuat kuasa sepanjang sesuatu kes masih dalam prosiding. Dalam bahasa mudah mahkamah mengarahkan pihak-pihak tertentu supaya melakukan atau tidak melakukan sesuatu sementara menunggu keputusan muktamad kes.
Sama ada mana-mana pihak bersetuju atau tidak, tunggu sahaja kesudahan prosiding mahkamah yang disebutkan oleh AGC. Tidak perlu lagi mereka berbalas-balas kenyataan termasuklah pecat mecat atau apa sahaja yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Apa yang penting sekarang ialah pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim harus memberi tumpuan kepada soal menguruskan negeri itu dan melaksanakan agenda untuk kesejahteraan rakyat.
Tambahan pula, Negeri Sembilan baru sahaja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu, tak kanlah nak ‘sambung’ pertarungan berkaitan proklamasi pulak?
Banyak lagi urusan rakyat perlu diberi tumpuan. Kemelut mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar wajar diserahkan kepada proses perlembagaan dan undang-undang, bukannya terus menjadi polemik terbuka yang boleh mengeruhkan keadaan.
Apa yang penting sekarang ialah semua pihak menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak mengambil tindakan yang boleh menambahkan kekeliruan atau ketegangan. Biarlah Tuanku Muhriz bertakhta seperti biasa. Sebarang persoalan mengenai kedudukan Baginda wajar diserahkan kepada proses perlembagaan dan undang-undang.
Ingatlah apapun kita lakukan, apapun kita mahu atau rancang dalam soal kuasa dan kedudukan jangan lupa firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bemaksud:
‘’Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’’
Justeru sekarang masa untuk bertenang bukan masa nak terus ‘serang menyerang’, tunggu sahaja mahkamah bersidang, rakyat pun rasa senang. Betul tak?





