SERAMAI 53 warga asing diperiksa kerana memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen sah dalam operasi khas bersepadu di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Operasi selama lima hari bermula 13 September hingga semalam itu turut menyaksikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Johor Bahru Utara mengeluarkan 103 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, operasi khas bersepadu itu menyasarkan pemandu dan penunggang motosikal dalam kalangan warga asing yang melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya.
“Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh itu, 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah undang-undang jalan raya.
“Antara kesalahan utama dikesan adalah 53 kes di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu tanpa lesen memandu yang sah.
“Selain itu, 44 kesalahan direkodkan di bawah Seksyen 23(1) akta sama membabitkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, manakala enam lagi adalah lain-lain kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Radin Ramlan berkata, polis turut menyita 53 kenderaan mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987.
“Sitaan membabitkan 47 motosikal, empat kereta, sebuah lori serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya





