HELAH seorang lelaki mendakwa menjadi mangsa culik ahlong untuk memperdaya ibunya supaya membayar wang tebusan RM30,000 gagal apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Selayang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan pada Sabtu lalu mengenai seorang wanita iaitu ibu lelaki terbabit mendakwa anaknya dilarikan ahlong dan diperas ugut supaya membayar wang tunai berkenaan jika mahu dibebaskan.
Susulan laporan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis kemudian menyelamatkan mangsa seorang lelaki yang berusia 25 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing di sekitar Lembah Klang.
“Hasil siasatan, kejadian lelaki itu dilarikan adalah tidak berlaku dan mendapati dia dengan sengaja memperdaya pengadu (ibunya) dengan cara memeras ugut melalui panggilan telefon dan menyamar sebagai ahlong untuk mendapatkan wang bagi melunaskan hutangnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan lelaki terbabit dituduh mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dituduh di Mahkamah Majistret Selayang, semalam.
“Pertuduhan dibuat atas perbuatan melakukan pemerasan kepada pengadu. Lelaki itu mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima bulan,” katanya.






