SEORANG wanita dipercayai terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’, menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya bergerak sendiri sebelum terbabas dan merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kelmarin.
Kejadian pada jam 4.55 petang itu berlaku ketika pemandunya, seorang wanita berusia 66 tahun, berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai terlupa meletakkan gear kenderaan pada kedudukan ‘P’ ketika hendak bertukar pemandu.
Katanya, ketika cuba keluar, SUV berkenaan mula bergerak perlahan menyebabkan wanita itu panik sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan dan melanggar sebuah kenderaan lain.
“SUV berkenaan kemudian terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA sebelum melanggar sebuah tiang bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita berkenaan sempat keluar dari SUV sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada muka akibat terkena serpihan kaca.
Katanya, wanita itu kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






