PENSYARAH Jabatan Syariah, Universiti Islam Selangor, Mohd Rasyidi Ali berkata, menjaga kesucian al-Quran merupakan tanggungjawab keagamaan yang perlu diterjemahkan melalui penghormatan terhadap lafaz, makna dan ajarannya.
Katanya, Imam al-Nawawi dalam al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, pada bab ketujuh, menegaskan, “Umat Islam telah bersepakat tentang kewajipan memuliakan al-Quran secara menyeluruh, menyucikannya daripada perkara yang tidak layak dan memeliharanya.”
‘’Penegasan ini menjadi asas bahawa perbincangan mengenai al-Quran hendaklah berteraskan ilmu serta adab, bukan sekadar kebebasan mengemukakan pandangan,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.
Dalam bab yang sama, kata Mohd Rasyidi, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa mentafsirkan al-Quran tanpa ilmu dan membicarakan maknanya tanpa kelayakan adalah dilarang.
‘’Beliau turut menegaskan bahawa penguasaan bahasa Arab semata-mata belum memadai tanpa merujuk penjelasan ahli tafsir.
‘’Namun, seseorang yang belum memiliki kelayakan tersebut boleh menukilkan tafsiran daripada sarjana yang berautoriti. Pendirian ini memperlihatkan kepentingan ketelitian sumber dan kesedaran terhadap batas pengetahuan ketika mengulas kandungan al-Quran,’’ katanya.
Berdasarkan prinsip tersebut, kata beliau, pertanyaan yang ikhlas untuk memahami al-Quran wajar disambut dengan penjelasan yang baik.
‘’Yang perlu dielakkan ialah membuat kesimpulan terburu-buru, memberikan tafsiran sendiri tanpa asas atau lebih malang lagi apabila menjadikan perkataan al-Quran sebagai bahan gurauan yang menjejaskan penghormatan terhadapnya,’’ katanya.
Mohd Rasyidi berkata, dalam masyarakat majmuk, pendidikan dan dialog yang beradab dapat membantu setiap pihak memahami sensitiviti agama tanpa menutup ruang pertanyaan.
‘’Nasihat saya, individu yang ingin menyentuh persoalan agama hendaklah terlebih dahulu menyemak konteks, merujuk sumber yang dipercayai dan mendapatkan pandangan pihak berkelayakan.
‘’Sekiranya berlaku keterlanjuran, kesediaan memberikan penjelasan, membetulkan kenyataan dan memohon maaf merupakan sikap yang matang. Masyarakat pula perlu menilai secara adil serta memberikan ruang kepada proses siasatan, tanpa mendahului dapatan pihak berautoriti,’’ katanya.
Beliau menegaskan, usaha memelihara kemuliaan al-Quran juga perlu mencerminkan nilai akhlaknya.
‘’ Ketegasan dalam mempertahankan kesuciannya hendaklah disertai hikmah, keadilan dan kesantunan, agar teguran menjadi jalan kepada kefahaman serta keharmonian bersama,’’ katanya.





