SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut manakala dua lagi mangsa termasuk bayi perempuan berusia enam bulan dilaporkan kritikal dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 68, Kampung Apek, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Setiu hari ini.
Mangsa, Muhammad Dini Haikal Rosli yang bekerja sebagai pembantu jurujual dan beralamat di Kelantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira jam 8.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, kemalangan membabitkan dua kereta Perodua Axia dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah Perodua Axia berwarna hitam yang dipandu lelaki berusia 25 tahun bersama dua penumpang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta terbabit kemudiannya bertembung dengan MPV dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun bersama tiga penumpang termasuk seorang bayi.
“Kereta yang datang dari arah belakang MPV tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebuah lagi kereta yang terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahril Asri berkata, perlanggaran itu mengakibatkan penumpang di bahagian hadapan Perodua Axia hitam meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu kereta berkenaan serta bayi perempuan berusia enam bulan yang menaiki MPV pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.





