Bekas polis didenda RM4,500 ugut bunuh isteri

SEORANG bekas anggota polis didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Tumpat hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut membunuh isterinya, minggu lalu.

Tertuduh, Muhd Sirrul Akmal Rasali, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 42 tahun dengan mengugut membunuh sehingga menyebabkan mangsa berasa gerun atau takut di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di Tumpat, kira-kira jam 9 pagi, 8 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan, lapor BH.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak mengamuk di dapur rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu pada jam 9 pagi, 8 Ogos lalu dan bertindak agresif terhadap isterinya.

Semasa kejadian itu, tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap pengadu dengan mengatakan mahu membunuhnya dan kejadian terbabit disaksikan oleh ibu kandung serta anak kandung pengadu.

Akibat bimbang dengan keselamatan dirinya, pengadu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat sebelum membuat tangkapan terhadap tertuduh.

Siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati tertuduh terhadap ibu kandungnya yang kerap mencampuri urusan rumah tangga mereka.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Megat Asyraf Megat Ishak manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Afiqah Amran.

Terdahulu Megat Asyraf memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh, namun Afiqah memohon hukuman yang minimum buat anak guamnya kerana Muhd Sirrul Akmal sudah menyesal atas perbuatan selain bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan sebanyak RM50 sehari.

Tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih bersekolah selain mengalami masalah mental dan mendapatkan rawatan psikiatri d Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here