KETUA Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor menjadi wira apabila berjaya memujuk dan menyelamatkan seorang pelajar perempuan daripada cubaan terjun dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Azli mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk remaja berusia 14 tahun itu yang dipercayai berada dalam keadaan tertekan dan memegang senjata, agar membatalkan hasratnya.
Selepas mangsa berjaya ditenangkan, Azli kemudian menghampiri pelajar berkenaan sebelum menarik tangan mangsa dan membawanya ke tempat yang selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke bilik rehat sekolah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Difahamkan, mangsa masih menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoiyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, sebaik tiba di sekolah berkenaan, anggota mendapati pelajar terbabit berada dalam keadaan agresif sambil memegang senjata dan berada di tingkat dua bangunan sekolah.
Menurutnya, maklumat awal daripada pihak sekolah memaklumkan pelajar itu dipercayai ada menulis mengenai hasrat untuk mencederakan dirinya di dalam buku latihan.
“Anggota bomba turut membantu menenangkan keadaan dan bersedia memberikan bantuan sehingga mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.






