SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah membentangkan lima cadangan penambahbaikan tatakelola pengurusan kawalan sempadan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd.
Cadangan itu berkaitan aspek amalan, sistem dan tatacara pengurusan kemasukan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang yang dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid di pejabat AKPS, Pasir Gudang hari ini.
Antara cadangan penambahbaikan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di lokasi pemeriksaan yang kritikal bagi meningkatkan pemantauan; penggunaan kamera badan (Body-Worn Camera-BWC) oleh pegawai barisan hadapan serta mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi antara pihak AKPS/JIM dan pengurusan terminal.
Dua lagi cadangan ialah pemasangan sistem pintu pintar yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk serta menghantar notifikasi secara masa nyata (real-time) kepada pegawai yang diberi kuasa dan pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) Bersepadu Pengurusan Kawalan Sempadan sebagai dokumen rujukan rasmi di pintu masuk negara.
Sheikh Hamadi berkata, pengukuhan tadbir urus, penyelarasan operasi dan mekanisme kawalan lebih sistematik antara AKPS, JIM serta pihak pengurusan terminal amat penting bagi mengurangkan jurang kawalan, mempertingkatkan integriti penyampaian perkhidmatan, serta memastikan pengurusan pintu masuk negara dilaksanakan lebih cekap.
Sementara itu, Timbalan Komander/Pegawai Penghubung Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pasir Gudang, Mohamed Ya’akob Mohamed Sultan dan Pengurus Besar, Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd, Mohd Tuah Mohd Amin menyambut baik serta bersetuju untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan SPRM.
Sesi pembentangan ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM bersama rakan-rakan strategik seperti AKPS, JIM dan pihak pengurusan terminal dalam meningkatkan integriti institusi serta memperkasakan pengurusan kawalan sempadan negara demi menjamin keselamatan dan kepentingan negara.






