Lebih banyak parti dijangka sertai blok bersepadu – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan jumlah parti pembangkang yang akan menyertai blok bersepadu akan bertambah.

Katanya, ini berikutan ada parti-parti baru berminat menyertai blok tersebut dan telah menghantar surat untuk berjump beliau.

“Hari ini, saya dapat surat untuk berjumpa (mereka). Ada parti-parti baharu (yang berminat), mungkin bilangannya akan naik sampai 14 parti pembangkang,” katanya pada majlis makan malam selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ke-8 di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata,  pada mulanya, hanya terdapat 12 parti menyertai majlis minum petang yang menjadi pertemuan pertama tidak rasmi gabungan longgar itu.

“Selepas itu, kita panggil mesyuarat pertama, semua hadir, kita bersetuju atas satu perkara yang paling penting, iaitu hubungan kita dalam soal politik nasional,” katanya.

Pada sidang media selepas perhimpunan tersebut, Muhyiddin yakin pembentukan gabungan itu mempunyai prospek jangka panjang yang cerah.

“Dan satu keputusan yang sudah diputuskan bersama adalah berkaitan dengan soal ekonomi. Kita juga telah bersetuju supaya kita ambil langkah (susulan),’’ katanya.

Beliau berkata, gabungan tersebut akan memberikan tumpuan pada isu-isu khusus, termasuk sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jadi kita akan ambil langkah bersama rakan-rakan dan ketua-ketua parti. Mungkin berjumpa persatuan PKS, sama ada Melayu, Cina atau India. Itu tak ada masalah bagi kita.

“Sekarang ni, kita dah langkau batas perkauman. Kita mahu jumpa (semua) dan bincang,” katanya.

Muhyiddin turut menyatakan bahawa kerjasama gabungan itu berpotensi diperluas ke arena pilihan raya.

“Semestinya akan timbul persoalan, bagaimana kita hendak kerjasama, berlainan parti. Mampukah kita bentuk kerjasama yang mantap?

“Adakah mereka akan sertai Perikatan Nasional (PN)? Atau mereka akan wujudkan pakatan pilihan raya untuk elak pertembungan pelbagai penjuru yang akan merugikan? Semua ini akan dibincangkan,” katanya.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan PN sebelum ini sebulat suara memberi mandat kepada Muhyiddin untuk menerajui usaha membentuk sebuah blok pembangkang yang bersepadu, sebagai inisiatif persiapan bagi menghadapi PRU16.

Pada 18 Julai lepas, presiden Bersatu itu mengadakan satu mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img