PKR bimbang kemelut Negeri Sembilan jejaskan urusan rakyat, ekonomi

PKR Negeri Sembilan menggesa kemelut membabitkan institusi dan pentadbiran negeri itu diselesaikan segera bagi mengelakkan ketidaktentuan berpanjangan menjejaskan urusan rakyat serta aktiviti ekonomi.

Dalam kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan malam tadi, parti itu berkata, keadaan semasa bukan hanya menyentuh persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah berpotensi memberi kesan langsung terhadap kelancaran pentadbiran negeri.

PKR Negeri Sembilan berkata, antara urusan yang berisiko terjejas termasuk pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek.

“Keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, selain memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat,” kata kenyataan itu.

Menurut parti itu, ketidakpastian berhubung kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga berpotensi melambatkan keputusan serta urusan penting kerajaan negeri.

PKR turut membangkitkan persoalan mengenai status pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis yang didakwa masih belum mempunyai kepastian.

“JPKK dan ahli majlis merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sekiranya pelantikan dan fungsi institusi ini terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan,” katanya.

Parti itu turut berkata, keadaan berpanjangan berpotensi menimbulkan persepsi bahawa pentadbiran negeri tidak dapat berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang belum diselesaikan.

Menurutnya, meskipun penjawat awam masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa, ketidakpastian berkaitan kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan serta rakyat.

Dalam pada itu, PKR Negeri Sembilan turut menyatakan kekecewaan terhadap tindakan dan pendirian Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang didakwanya tidak selari dengan titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kemelut pentadbiran negeri itu memuncak selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa 20 September lalu.

Kenyataan PKR itu dibuat ketika kemelut pentadbiran Negeri Sembilan berlarutan sejak beberapa minggu lalu. Ismail sebelum ini menegaskan kerajaan negeri perlu diberikan ruang menjalankan fungsi eksekutifnya, manakala pertikaian berkaitan institusi adat dan Raja perlu diselesaikan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta saluran yang mempunyai bidang kuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here