Lelaki dikehendaki polis Singapura jadi mangsa culik di Johor

SEORANG lelaki yang diburu polis Singapura selepas melarikan dari Parol negara republik itu menjadi mangsa culik oleh sekumpulan enam individu tempatan, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki terbabit yang berusia 32 tahun masuk ke Malaysia secara tidak sah sejak Mei lalu dan telah meminta bantuan kenalannya, namun sebaliknya dijadikan tebusan bersama teman wanitanya.

Beliau berkata, pada 10 Ogos lalu, Polis Johor menerima laporan daripada seorang wanita warga Singapura yang memaklumkan anak lelakinya (mangsa) diculik suspek tidak dikenali di Johor Bahru.

Menurutnya, kumpulan terbabit menuntut wang tebusan sebanyak S$80,000 (RM255,000) sebelum bersetuju menerima S$25,000 (RM79,822).

“Sebahagian wang iaitu S$5,000 (RM17,500) telah dibayar secara atas talian, manakala baki dijadualkan diserahkan di sebuah pasar raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Kumar berkata, polis bertindak pantas dengan menahan seorang suspek berusia 40 tahun di pasar raya Nusa Bestari, Iskandar Puteri semalam.

Ketika operasi itu dijalankan, mangsa lelaki dalam keadaan cedera di kedua-dua paha dipercayai akibat dikelar senjata tajam, manakala teman wanitanya warganegara Singapura berusia 33 tahun turut diselamatkan.

Susulan tangkapan tersebut, lima lagi suspek termasuk seorang wanita berusia 32 hingga 46 tahun ditahan di Skudai.

“Rampasan turut dibuat melibatkan wang tunai S$12,000 (RM38,324), wang tunai RM41,400, rantai emas, jam tangan Rolex, parang serta sebuah kereta Perodua Axia.

“Hasil semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah termasuk dadah, manakala empat daripadanya positif methamphetamine,” kata Kumar.

Kesemua suspek direman 10 hari sehingga 21 Ogos ini. Mangsa lelaki pula direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala teman wanitanya direman empat hari sehingga 15 Ogos atas kesalahan positif dadah.

Kumar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here