MENTERI Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memuji Ahli Parlimen Bersatu kerana menjalankan tanggungjawab mereka dengan menghadiri dan membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) pada sidang khas Dewan Rakyat semalam.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai keputusan bijak dan tepat, berbeza dengan beberapa parti pembangkang lain dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), yang tidak mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.
“Setidak-tidaknya Ahli Parlimen daripada Bersatu menjalankan fungsi mereka semalam dalam sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan RCI Tabung Haji.
“Itu adalah keputusan yang bijak, tepat dan berbeza dengan sikap parti pembangkang lain daripada PN,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Kementerian Komunikasi Putrajaya, lapor FMT.
Semalam, Ahli Parlimen PN dari Pas dan Wawasan bertindak keluar Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan laporan RCI Tabung Haji selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada sidang khas berkenaan.
Fahmi mengingatkan RCI itu ditubuhkan pada 2021 ketika Pas dan ketua pembangkang ketika ini berada dalam Jemaah Menteri, manakala laporannya disiapkan pada 2022 ketika mereka masih berada dalam kerajaan.
Beliau turut menyatakan portfolio hal ehwal agama ketika itu diterajui seorang menteri daripada Pas.
Mengulas gesaan beberapa Ahli Parlimen supaya RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat TH untuk tempoh 2021 hingga 2025, Fahmi berkata perkara itu perlu diputuskan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ada dua keputusan yang perlu dibuat. Pertama, di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan ataupun mengembangkan siasatan.
“Oleh kerana ia Suruhanjaya Siasatan Diraja, keputusan itu juga perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan RCI baharu ditubuhkan bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi 2014 hingga 2020.
Mereka berpandangan siasatan baharu diperlukan bagi meneliti pengurusan TH serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap masalah kewangan dan pentadbiran institusi itu.
Fahmi berkata kerajaan kini menyerahkan dapatan laporan RCI TH kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut berdasarkan maklumat terkandung dalam laporan berkenaan.
Menurutnya, siasatan itu turut boleh mengambil kira maklumat tambahan yang diberikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.





