MALAYSIA negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan Myanmar menerima semula pelarian negara itu menerusi pencapaian diplomatik susulan lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian diplomatik itu sekali gus membuka laluan kepada penghantaran pulang lebih ramai pelarian dalam masa terdekat.
“Ini satu pencapaian yang agak luar biasa kerana seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelarian-pelarian mereka.
“Seramai 10,400 orang pelarian Myanmar yang diterima Myanmar, sejak dari awal tahun hingga hujung September baru-baru ini.
“Semuanya dihantar semula ke negara itu pada kos yang ditanggung pihak Myanmar sendiri. Jadi ini satu satu pencapaian diplomatik yang cukup memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, lapor Berita RTM.
Menurut data yang diperoleh, lebih 3,000 pelarian Myanmar pelbagai etnik dijangka dihantar pulang dalam masa terdekat susulan lawatan rasmi Presiden Myanmar itu ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu.
Minggu lalu, Aung Hlaing ketika lawatan rasmi ke Malaysia memaklumkan Myanmar akan menghantar sebuah kapal tentera laut ke Malaysia bagi mempercepat penghantaran pulang rakyatnya yang kini berada di pusat tahanan imigresen negara ini.
Penghantaran pulang itu melibatkan individu yang telah menjalani proses pengesahan dan dikenal pasti sebagai warga Myanmar.





